Masakan Paling Sedap Di Dunia!
Sebagai seorang yang makan gaji dan
bekerja di pejabat, saya selalu makan di luar rumah. Kadang-kadang di
kedai-kedai mamak, di gerai-gerai, di medan-medan selera dan di
kantin-kantin. Sekali-sekala ada juga makan di hotel dan restoren
yang agak mewah.
Bagaimana rasa masakan di tempat-tempat
ini?
Ada yang hambar, ada yang secukup rasa
sahaja dan ada yang memang sedap. Yang hambar, itulah kali pertama
dan terakhir saya datang kesitu. Yang cukup rasa sahaja, mungkin saya
akan kunjungi lagi, jika tiada pilihan lain. Yang sedap, memang akan
dikunjungi lagi bila saya ada peluang.
Dengan pengalaman sebegini, tidak dapat
tidak, ada masanya saya akan menilai-nilai. Mana satukah masakan yang
paling sedap? Bukan bertujuan untuk memberi markah atau untuk memberi
hadiah, hanya sekadar untuk memuaskan persoalan dari diri sendiri.
Nilailah sebaik-baiknya, dari segala
sudut dan dari segala segi. Masakan dihotel, di restoran mewah, di
medan selera, di gerai atau di kantin, tidak satu pun dapat
menandingi masakan, ya masakan emak saya!
Mungkin anda terperanjat, mungkin anda
tertanya-tanya. Adakah emak saya seorang tukang masak handalan yang
mampu memasak resepi terkemuka dari udang galah, daging rusa atau
ikan tuna?
Bukan begitu. Emak saya orang kampung
yang bekerja membantu apak menoreh getah dan bersawah padi. Seingat
saya, emak saya tidak pernah memasak udang galah, daging rusa atau
ikan tuna. Tetapi, kenapa saya katakan masakan emak mengalahkan
masakan di hotel, di restoran mewah, di medan selera, di gerai atau
di kantin?
Emaklah yang membesarkan kami
adik-beradik. Emak masakkan kami lauk ikan sawah masak lemak cili api
campur pisang muda. Kalau apak dapat pencen dan dia beli ikan
tenggiri, emak akan buat masak lemak cili api juga tetapi dicampur
dengan kacang buncis.
Emak masak berbekalkan santan kelapa,
sedikit bawang merah dan bawang putih. Kemudian dibubuhnya garam dan
serbuk kunyit secukup rasa. Sesekali-sekala emak masukkan sedikit air
limau kapas sebagai pemambah perisa. Kalau emak buat goreng berlada,
dicampurnya sedikit bawang besar dan sedikit halia.
Emak tidak pernah gunakan rempah yang
di impot dari luar negara. Emak hanya gunakan kelapa yang diambil
dari belakang rumah. Emak tidak pernah masak menggunakan mikro-wave.
Emak hanya jerangkan lauk di atas dapur kayu. Emak tidak pernah
gunakan periuk stainless steel. Emak hanya gunakan belanga tanah.
Emak, kalau memasak lauk-pauk, dia suka
apak dan anak-anak makan dengan berselera. Emak masak agar apak dan
anak-anak kenyang dan sihat. Emak suka kalau lauk dan nasi habis.
Emak tidak pernah mengharap itu dan ini sebagai balasan terhadap
masakannya itu. Itulah keikhlasan emak!
Tukang masak hotel, mungkin
mengharapkan masakan sedapnya mengembirakan pengunjung hotel dan
mereka akan datang lagi. Bila pengunjung bertambah ramai, perniagaan
hotel bertambah maju dan tukang masak boleh mendapat kenaikan gaji
dan pangkat.
Tukang masak di kedai mamak, medan
selera dan kantin, mungkin mengharapkan masakan sedapnya akan menarik
lebih ramai pelanggan dan memberi keuntungan yang lebih banyak pada
perniagaan mereka.
Tapi emak, masak dengan jiwa dan rohnya
yang ikhlas. Untuk apak, untuk anak-anak. Emak tidak pernah terlintas
untuk meraih sebarang balasan. Melihat apak dan anak-anak makan
dengan berselera sudah cukup membahagiakannya. Emak dan apak senyum
bila anak-anak sudah kenyang dan memandang jauh kehadapan untuk
melihat anak-anak membesar menjadi anak-anak yang berguna dan
berjasa.
Pada saya, sebab itulah, masakan emak,
paling sedap di dunia!
Facebook saya https://www.facebook.com/deanmj9
#masakanpalingsedap #masakanibu #ibukusayang #memangsedap
Facebook saya https://www.facebook.com/deanmj9
#masakanpalingsedap #masakanibu #ibukusayang #memangsedap