16 December 2016

Archery / Memanah


Masih ingat lagi, masa kecil dulu, dengan sekeping buluh, seutas rotan dan beberapa batang buluh runcing. Itulah set panah pertama saya. Masa itu, tiada sasaran khusus, maka ayam dan itiklah yang menjadi mangsa. Tidak lupa, pokok pisang disekeliling rumah.

Begitulah sejarah saya memanah. Bila dewasa, semuanya dilupakan begitu saja. Tetapi, pernah juga cuba-cuba menghidupkan minat ini kembali, tapi, pada masa itu peralatan memanah begitu mahal dan diluar kemampuan saya yang hanya makan gaji. Semuanya diimport dari luar negara. Maka,
terpadamlah minat terhadap sunnah Nabi yang amat utama ini.

Sehinggalah tiba ketentuan Allah Taala, saya diberhentikan kerja oleh majikan atas alasan tidak mencapai piawaian syarikat. Kecewa tetapi redha atas ketentuanNya. Tetapi, Dia tetap adil lagi pemurah. Waktu inilah saya dipertemukan dengan sunnah kekasihNya ini. Semasa bermalas-malas melawati lama Facebook, saya terjumpa satu ruangan mengiklankan busur dan anak panah dengan harga mampu milik dan berhampiran dengan taman kediaman saya.

17/07/2016 adalah hari bersejarah. Ini adalah hari pertama saya belajar memanah di Gelanggang Memanah Bukit Kelana Seremban. Bermula dari hari itu, hampir setiap hari saya akan turun berlatih. Ada kalanya bersama kawan-kawan, ada kalanya seorang diri. Saya tidak jemu-jemu meluncurkan anak panah satu demi satu. Target butt di situ hancur berkecai kebanyakannya hasil panahan saya saja.

Hari demi hari, panahan saya bertambah baik. Angka panahan bertambah satu demi satu hinga menjangkau puluhan ribu. Sebagai seorang penganggur pada masa itu, saya mempunyai limpahan masa untuk terus memanah. Bila tidak ke gelanggang, saya akan memanah pula di dalam setor di rumah saya.

Bila di gelanggang yang terbuka luas, saya memberi perhatian memperbaiki ketepatan panahan. Tetapi bila memanah di dalam ruangan sempit di dalam setor di rumah, saya lebih menumpukan kepada memperbaiki teknik-teknik nocking dan susunan anak panah. Saya turut menonton Youtube untuk menimba ilmu dari pemanah-pemanah di seluruh dunia.

Saya ingin menyeru kepada anda semua untuk belajar memanah. Ia adalah satu sukan yang amat menarik. Ia melatih kita untuk menjadi seorang yang kuat, tepat dan kreatif. Ia sesuai untuk sebarang peringkat umur. Saya sendiri telah menghampiri umur bersara semasa memulakan aktiviti ini. Ditambah lagi, memanah adalah satu tuntutan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Banyak hadis yang menyatakan perihal ini dan diantara hadis itu ada yang mengatakan bahawa keutamaan memanah ini melebihi tuntutan belajar berkuda.

Memanah juga adalah satu sukan yang mampu diceburi. Sekarang, kita boleh memilih peralatan yang diimport atau yang dibuat oleh penggiat memanah tempatan yang jauh lebih murah. Ia amat sesuai bagi peringkat permulaan dan tetap boleh digunakan sebagai peralatan hingga keperingkat lebih
tinggi. Memanah tidak berakhir disatu peringkat sahaja, malah ia boleh berkembang kepada panahan jarak jauh, panahan cepat, panahan berkuda dan berbagai lagi. Semua kemudahan ini kini telah ada di sekitar kita.

Kemahiran memanah juga boleh menjadi satu esset dalam arena mempertahan diri, agama dan negara. Mungkin kita tidak nampak keperluannya dalam bidang ini sekarang, tetapi bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan! Dizaman Rasulullah sehinggalah zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya, tentera-tentera Islam mempunyai unit-unit pemanah terhandal yang amat digeruni musuh.

Pada saya, memanah ini punyai tarikan yang tersendiri. Saya suka menarik busur dan membidik, saya seronok bila anah panah meluncur dan menjejak sasaran, saya teruja mendengar bunyi berdetup bila anak panah mencecah sasaran. Saya mencari-cari teknik memanah yang berbagai macam, saya bersemangat bila melihat pemanah-pemanah berkarya bersama busur dan anak panah, malah kuda mereka.

Insya Allah, saya akan meneruskan aktiviti ini. Saya ingin menyeru anda semua untuk turut bersama saya. Marilah kita bergiat dalam sukan ini. Ini adalah kesinambungan evolusi kemanusiaan, ini adalah sunnah Penghulu Kita, Kekasih Allah Taala, Nabi Muhammad S.A.W.

#pemanahbajet #sunnahNabi #kataDeanMj

07 March 2016

Hari Tua



Saya berhenti mengisi petrol kereta saya disebuah stesen minyak. Lepas mengisi petrol, saya meletakkan kereta saya di suatu ruang pakir berhampiran, sementara menunggu isteri saya selesai membeli sedikit minuman.
Gambar hiasan

Tiba-tiba saya terlihat sesuatu. Seorang pakcik tersandar di dinding bangunan stesen minyak tersebut. Sambil bersandar kepalanya terlintuk ke bawah, lena.

Disebelahnya ada beberapa bungkus keropok kering dan sepasang selipar getah. Disebelah yang lain, kelihatan bungkusan plastic yang lebih besar. Pada hemat saya, pakcik itu berniaga menjual keropok kepada pelanggan stesen minyak tersebut. Walaupun berkopiah, jelas kelihatan rambutnya yang telah putih di mamah usia. Baju Melayu dan kain pelikat yang dipakainya, ala kadar saja.

Gambar hiasan
Pada penilaian saya, pakcik itu tentunya berumur sekitar 60-70 tahun. Pada umur sebegitu, dia masih membanting tulang, mencari rezeki. Keadaan yang panas pada waktu itu sudah semestinya membuatkan sesiapa saja akan lelah dan mengah bila bekerja mencari rezeki.

Saya berfikir panjang. Pada usia saya yang sedang menghampiri persaraan, saya masih bergelut dengan hutang-piutang. Wang simpanan tidak kelihatan. Anak-anak pula masih bersekolah dan di pusat pengajian. Bagaimana keadaannya nanti bila kederat telah berkurangan, fikiran pula telah mula tumpul. Pada masa itu, tiada majikan akan menerima saya bekerja. Mampukah saya menyara keluarga, atau paling tidak, mampukah saya menyara diri saya sendiri?

Adakah saya akan terpaksa berhempas-pulas demi sesuap nasi, demi meneruskan hidup. Lihat sajalah pakcik itu. Bermandikan bahang dan cahaya mentari.

Gambar hiasan
Tidakkah pada usia sebegitu, kita patutnya telah boleh tersenyum, sambil memetik hasil usaha kita
dimasa tenaga masih kuat dan fikiran masih tajam dan segar? Tidakkah sepatutnya pada usia itu kita lebih selesa menyahut seruan azan dan berbondong-bondong menuju ke masjid-masjid dan surau-surau, mengadap Yang Maha Esa?

Lamunan saya terhenti bila isteri kembali. Namun hakikatnya, persoalan terus berlegar dalam fikiran saya, hingga kini!

#kataDeanMj #haritua #nasibkitadiharitua

13 February 2016

Enggang sama enggang, pipit sama pipit

Enggang sama enggang, pipit sama pipit
Enggang

Bidalan Melayu ini bermaksud, berkawan biarlah yang sama taraf dan kedudukan. Sekali pandang, ia seolah-olah ingin mengetengahkan atau menggalakkan pengkelasan yang mengikut taraf-taraf tertentu atau mungkin mengikut kasta-kasta tertentu.

Anda setuju dengan definasi di atas?

Anda mungkin mempunyai jawapan anda yang tersendiri. Saya terima apa jua pendapat anda.

Pipit
Walau bagaimana pun, setelah beberapa lama menjalani hidup di dunia yang serba mencabar ini, saya mula menyedari, bidalan tersebut ada kebenarannya. Malah, ada masa-masa tertentu, perlu di ambil kira dalam pergaulan seharian kita. Saya tidak sekalai-kali menyanjung isu-isu kasta, perkauman dan lain-lain yang sepertinya, tetapi, saya rasakan ianya perlu untuk meminimakan rintangan-rintangan dan masalah-masalah dalam arena kehidupan seharian kita. Seterusnya, ia boleh digunakan untuk memupuk kerjasama dan perkumpulan dikalangan individu yang mempunyai kecenderungan yang sama.

Secara tersurat, bidalan itu seolah-olah cuba mengkelaskan sesuatu golongan mengikut taraf dan kedudukan (samada dari segi material atau pangkat), tetapi saya rasa, kita perlu kembangkan agar ia juga meliputi kemahiran-kemahiran, bidang-bidang kerja dan pengalaman-pengalaman hidup.

Cuba perhatikan sekeliling kita. Kita akan dapati ada persatuan jurutera, persatuan arkitek, persatuan jururawat dan sebagainya. Mereka ini bergaul dikalangan mereka yang satu profession.

Kita dapati pula ada persatuan peniaga, persatuan kontraktor, persatuan pekerja dan sebagainya. Mereka ini berkumpul dan bergabung antara mereka yang sama kegiatan.

Kemudian kita dapati ada pula persatuan bolasepak, persatuan bola jaring, persatuan lumba basikal dan sebagainya. Mereka ini berkumpul atas dasar minat.

Ada banyak lagi persatuan dan perkumpulan yang seerti dengan 'berkawan' yang dibuat atas beberapa dasar atau kepentingan lain. Mereka ini mempunyai 'taraf' dan 'kedudukan' tertentu dan juga mempunyai kemahiran-kemahiran dan pengalaman-pengalaman tertentu.

Sebab itulah saya merasakan bidalan itu telah dibuat dengan teliti dan dizaman serba moden ini, ia menjadi semakin relevant.

Saya teringat beberapa peristiwa, bila bertemu kawan-kawan lama. Seronok bila mengenang kembali masa silam. Zaman persekolahan dan zaman remaja. Seronok juga bila berkongis beberapa pengalaman hidup. Tetapi, bila topik bertukar kepada isu semasa yang lebih spesifik, keadaan menjadi berubah.

Suasana berubah bukannya kerana kita tidak mengikuti perkembangan semasa, tetapi oleh kerana pengalaman yang berlainan. Ada kalanya bila seorang kawan terlalu ghairah menceritakan kisah dan peristiwa yang dialaminya, kawan lain ada yang terpinga-pinga. Mungkin kerana tidak faham atau mungkin kerana kurang berminat atau kurang menarik.

Keadaan yang sama boleh berlaku jika salah seorang hanya seorang eksekutif manakala seorang lagi seorang CEO. Atau seorang bekerja di daerah sendiri, manakala seorang lagi merantau serata dunia. Ada kalanya, nilai sosial antara dua sahabat ini juga telah berbeza.

Orang-orang terdahulu, tidak kurang yang bijak pandai. Bidalan ini mungkin salah satu buktinya. Walaupun zaman mereka itu tanpa komputer dan internet, tetapi fikiran mereka tetap tajam dan perpandangan jauh..........

Enggang sama enggang, pipit sama pipit.........................................

#kataDeanMj #enggang #pipit #enggangvspipit #enggangsamaenggang

09 January 2016

Masakan Paling Sedap Di Dunia!

Masakan Paling Sedap Di Dunia!

Sebagai seorang yang makan gaji dan bekerja di pejabat, saya selalu makan di luar rumah. Kadang-kadang di kedai-kedai mamak, di gerai-gerai, di medan-medan selera dan di kantin-kantin. Sekali-sekala ada juga makan di hotel dan restoren yang agak mewah.

Bagaimana rasa masakan di tempat-tempat ini?

Ada yang hambar, ada yang secukup rasa sahaja dan ada yang memang sedap. Yang hambar, itulah kali pertama dan terakhir saya datang kesitu. Yang cukup rasa sahaja, mungkin saya akan kunjungi lagi, jika tiada pilihan lain. Yang sedap, memang akan dikunjungi lagi bila saya ada peluang.

Dengan pengalaman sebegini, tidak dapat tidak, ada masanya saya akan menilai-nilai. Mana satukah masakan yang paling sedap? Bukan bertujuan untuk memberi markah atau untuk memberi hadiah, hanya sekadar untuk memuaskan persoalan dari diri sendiri.

Nilailah sebaik-baiknya, dari segala sudut dan dari segala segi. Masakan dihotel, di restoran mewah, di medan selera, di gerai atau di kantin, tidak satu pun dapat menandingi masakan, ya masakan emak saya!

Mungkin anda terperanjat, mungkin anda tertanya-tanya. Adakah emak saya seorang tukang masak handalan yang mampu memasak resepi terkemuka dari udang galah, daging rusa atau ikan tuna?

Bukan begitu. Emak saya orang kampung yang bekerja membantu apak menoreh getah dan bersawah padi. Seingat saya, emak saya tidak pernah memasak udang galah, daging rusa atau ikan tuna. Tetapi, kenapa saya katakan masakan emak mengalahkan masakan di hotel, di restoran mewah, di medan selera, di gerai atau di kantin?

Emaklah yang membesarkan kami adik-beradik. Emak masakkan kami lauk ikan sawah masak lemak cili api campur pisang muda. Kalau apak dapat pencen dan dia beli ikan tenggiri, emak akan buat masak lemak cili api juga tetapi dicampur dengan kacang buncis.

Kalau emak pergi timba lubuk dan dapat ikan sembilang dan ikan puyu, emak goreng garing ikan
puyu itu dan ikan sembilang akan digoreng berlada. Lepas timba lubuk, emak petik kangkung di batas sawah dan digulai lemak.

Emak masak berbekalkan santan kelapa, sedikit bawang merah dan bawang putih. Kemudian dibubuhnya garam dan serbuk kunyit secukup rasa. Sesekali-sekala emak masukkan sedikit air limau kapas sebagai pemambah perisa. Kalau emak buat goreng berlada, dicampurnya sedikit bawang besar dan sedikit halia.

Emak tidak pernah gunakan rempah yang di impot dari luar negara. Emak hanya gunakan kelapa yang diambil dari belakang rumah. Emak tidak pernah masak menggunakan mikro-wave. Emak hanya jerangkan lauk di atas dapur kayu. Emak tidak pernah gunakan periuk stainless steel. Emak hanya gunakan belanga tanah.

Emak, kalau memasak lauk-pauk, dia suka apak dan anak-anak makan dengan berselera. Emak masak agar apak dan anak-anak kenyang dan sihat. Emak suka kalau lauk dan nasi habis. Emak tidak pernah mengharap itu dan ini sebagai balasan terhadap masakannya itu. Itulah keikhlasan emak!

Tukang masak hotel, mungkin mengharapkan masakan sedapnya mengembirakan pengunjung hotel dan mereka akan datang lagi. Bila pengunjung bertambah ramai, perniagaan hotel bertambah maju dan tukang masak boleh mendapat kenaikan gaji dan pangkat.

Tukang masak di kedai mamak, medan selera dan kantin, mungkin mengharapkan masakan sedapnya akan menarik lebih ramai pelanggan dan memberi keuntungan yang lebih banyak pada perniagaan mereka.

Tapi emak, masak dengan jiwa dan rohnya yang ikhlas. Untuk apak, untuk anak-anak. Emak tidak pernah terlintas untuk meraih sebarang balasan. Melihat apak dan anak-anak makan dengan berselera sudah cukup membahagiakannya. Emak dan apak senyum bila anak-anak sudah kenyang dan memandang jauh kehadapan untuk melihat anak-anak membesar menjadi anak-anak yang berguna dan berjasa.

Pada saya, sebab itulah, masakan emak, paling sedap di dunia!

Facebook saya https://www.facebook.com/deanmj9


#masakanpalingsedap #masakanibu #ibukusayang #memangsedap