16 December 2016

Archery / Memanah


Masih ingat lagi, masa kecil dulu, dengan sekeping buluh, seutas rotan dan beberapa batang buluh runcing. Itulah set panah pertama saya. Masa itu, tiada sasaran khusus, maka ayam dan itiklah yang menjadi mangsa. Tidak lupa, pokok pisang disekeliling rumah.

Begitulah sejarah saya memanah. Bila dewasa, semuanya dilupakan begitu saja. Tetapi, pernah juga cuba-cuba menghidupkan minat ini kembali, tapi, pada masa itu peralatan memanah begitu mahal dan diluar kemampuan saya yang hanya makan gaji. Semuanya diimport dari luar negara. Maka,
terpadamlah minat terhadap sunnah Nabi yang amat utama ini.

Sehinggalah tiba ketentuan Allah Taala, saya diberhentikan kerja oleh majikan atas alasan tidak mencapai piawaian syarikat. Kecewa tetapi redha atas ketentuanNya. Tetapi, Dia tetap adil lagi pemurah. Waktu inilah saya dipertemukan dengan sunnah kekasihNya ini. Semasa bermalas-malas melawati lama Facebook, saya terjumpa satu ruangan mengiklankan busur dan anak panah dengan harga mampu milik dan berhampiran dengan taman kediaman saya.

17/07/2016 adalah hari bersejarah. Ini adalah hari pertama saya belajar memanah di Gelanggang Memanah Bukit Kelana Seremban. Bermula dari hari itu, hampir setiap hari saya akan turun berlatih. Ada kalanya bersama kawan-kawan, ada kalanya seorang diri. Saya tidak jemu-jemu meluncurkan anak panah satu demi satu. Target butt di situ hancur berkecai kebanyakannya hasil panahan saya saja.

Hari demi hari, panahan saya bertambah baik. Angka panahan bertambah satu demi satu hinga menjangkau puluhan ribu. Sebagai seorang penganggur pada masa itu, saya mempunyai limpahan masa untuk terus memanah. Bila tidak ke gelanggang, saya akan memanah pula di dalam setor di rumah saya.

Bila di gelanggang yang terbuka luas, saya memberi perhatian memperbaiki ketepatan panahan. Tetapi bila memanah di dalam ruangan sempit di dalam setor di rumah, saya lebih menumpukan kepada memperbaiki teknik-teknik nocking dan susunan anak panah. Saya turut menonton Youtube untuk menimba ilmu dari pemanah-pemanah di seluruh dunia.

Saya ingin menyeru kepada anda semua untuk belajar memanah. Ia adalah satu sukan yang amat menarik. Ia melatih kita untuk menjadi seorang yang kuat, tepat dan kreatif. Ia sesuai untuk sebarang peringkat umur. Saya sendiri telah menghampiri umur bersara semasa memulakan aktiviti ini. Ditambah lagi, memanah adalah satu tuntutan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Banyak hadis yang menyatakan perihal ini dan diantara hadis itu ada yang mengatakan bahawa keutamaan memanah ini melebihi tuntutan belajar berkuda.

Memanah juga adalah satu sukan yang mampu diceburi. Sekarang, kita boleh memilih peralatan yang diimport atau yang dibuat oleh penggiat memanah tempatan yang jauh lebih murah. Ia amat sesuai bagi peringkat permulaan dan tetap boleh digunakan sebagai peralatan hingga keperingkat lebih
tinggi. Memanah tidak berakhir disatu peringkat sahaja, malah ia boleh berkembang kepada panahan jarak jauh, panahan cepat, panahan berkuda dan berbagai lagi. Semua kemudahan ini kini telah ada di sekitar kita.

Kemahiran memanah juga boleh menjadi satu esset dalam arena mempertahan diri, agama dan negara. Mungkin kita tidak nampak keperluannya dalam bidang ini sekarang, tetapi bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan! Dizaman Rasulullah sehinggalah zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya, tentera-tentera Islam mempunyai unit-unit pemanah terhandal yang amat digeruni musuh.

Pada saya, memanah ini punyai tarikan yang tersendiri. Saya suka menarik busur dan membidik, saya seronok bila anah panah meluncur dan menjejak sasaran, saya teruja mendengar bunyi berdetup bila anak panah mencecah sasaran. Saya mencari-cari teknik memanah yang berbagai macam, saya bersemangat bila melihat pemanah-pemanah berkarya bersama busur dan anak panah, malah kuda mereka.

Insya Allah, saya akan meneruskan aktiviti ini. Saya ingin menyeru anda semua untuk turut bersama saya. Marilah kita bergiat dalam sukan ini. Ini adalah kesinambungan evolusi kemanusiaan, ini adalah sunnah Penghulu Kita, Kekasih Allah Taala, Nabi Muhammad S.A.W.

#pemanahbajet #sunnahNabi #kataDeanMj