13 February 2016

Enggang sama enggang, pipit sama pipit

Enggang sama enggang, pipit sama pipit
Enggang

Bidalan Melayu ini bermaksud, berkawan biarlah yang sama taraf dan kedudukan. Sekali pandang, ia seolah-olah ingin mengetengahkan atau menggalakkan pengkelasan yang mengikut taraf-taraf tertentu atau mungkin mengikut kasta-kasta tertentu.

Anda setuju dengan definasi di atas?

Anda mungkin mempunyai jawapan anda yang tersendiri. Saya terima apa jua pendapat anda.

Pipit
Walau bagaimana pun, setelah beberapa lama menjalani hidup di dunia yang serba mencabar ini, saya mula menyedari, bidalan tersebut ada kebenarannya. Malah, ada masa-masa tertentu, perlu di ambil kira dalam pergaulan seharian kita. Saya tidak sekalai-kali menyanjung isu-isu kasta, perkauman dan lain-lain yang sepertinya, tetapi, saya rasakan ianya perlu untuk meminimakan rintangan-rintangan dan masalah-masalah dalam arena kehidupan seharian kita. Seterusnya, ia boleh digunakan untuk memupuk kerjasama dan perkumpulan dikalangan individu yang mempunyai kecenderungan yang sama.

Secara tersurat, bidalan itu seolah-olah cuba mengkelaskan sesuatu golongan mengikut taraf dan kedudukan (samada dari segi material atau pangkat), tetapi saya rasa, kita perlu kembangkan agar ia juga meliputi kemahiran-kemahiran, bidang-bidang kerja dan pengalaman-pengalaman hidup.

Cuba perhatikan sekeliling kita. Kita akan dapati ada persatuan jurutera, persatuan arkitek, persatuan jururawat dan sebagainya. Mereka ini bergaul dikalangan mereka yang satu profession.

Kita dapati pula ada persatuan peniaga, persatuan kontraktor, persatuan pekerja dan sebagainya. Mereka ini berkumpul dan bergabung antara mereka yang sama kegiatan.

Kemudian kita dapati ada pula persatuan bolasepak, persatuan bola jaring, persatuan lumba basikal dan sebagainya. Mereka ini berkumpul atas dasar minat.

Ada banyak lagi persatuan dan perkumpulan yang seerti dengan 'berkawan' yang dibuat atas beberapa dasar atau kepentingan lain. Mereka ini mempunyai 'taraf' dan 'kedudukan' tertentu dan juga mempunyai kemahiran-kemahiran dan pengalaman-pengalaman tertentu.

Sebab itulah saya merasakan bidalan itu telah dibuat dengan teliti dan dizaman serba moden ini, ia menjadi semakin relevant.

Saya teringat beberapa peristiwa, bila bertemu kawan-kawan lama. Seronok bila mengenang kembali masa silam. Zaman persekolahan dan zaman remaja. Seronok juga bila berkongis beberapa pengalaman hidup. Tetapi, bila topik bertukar kepada isu semasa yang lebih spesifik, keadaan menjadi berubah.

Suasana berubah bukannya kerana kita tidak mengikuti perkembangan semasa, tetapi oleh kerana pengalaman yang berlainan. Ada kalanya bila seorang kawan terlalu ghairah menceritakan kisah dan peristiwa yang dialaminya, kawan lain ada yang terpinga-pinga. Mungkin kerana tidak faham atau mungkin kerana kurang berminat atau kurang menarik.

Keadaan yang sama boleh berlaku jika salah seorang hanya seorang eksekutif manakala seorang lagi seorang CEO. Atau seorang bekerja di daerah sendiri, manakala seorang lagi merantau serata dunia. Ada kalanya, nilai sosial antara dua sahabat ini juga telah berbeza.

Orang-orang terdahulu, tidak kurang yang bijak pandai. Bidalan ini mungkin salah satu buktinya. Walaupun zaman mereka itu tanpa komputer dan internet, tetapi fikiran mereka tetap tajam dan perpandangan jauh..........

Enggang sama enggang, pipit sama pipit.........................................

#kataDeanMj #enggang #pipit #enggangvspipit #enggangsamaenggang