09 January 2016

Masakan Paling Sedap Di Dunia!

Masakan Paling Sedap Di Dunia!

Sebagai seorang yang makan gaji dan bekerja di pejabat, saya selalu makan di luar rumah. Kadang-kadang di kedai-kedai mamak, di gerai-gerai, di medan-medan selera dan di kantin-kantin. Sekali-sekala ada juga makan di hotel dan restoren yang agak mewah.

Bagaimana rasa masakan di tempat-tempat ini?

Ada yang hambar, ada yang secukup rasa sahaja dan ada yang memang sedap. Yang hambar, itulah kali pertama dan terakhir saya datang kesitu. Yang cukup rasa sahaja, mungkin saya akan kunjungi lagi, jika tiada pilihan lain. Yang sedap, memang akan dikunjungi lagi bila saya ada peluang.

Dengan pengalaman sebegini, tidak dapat tidak, ada masanya saya akan menilai-nilai. Mana satukah masakan yang paling sedap? Bukan bertujuan untuk memberi markah atau untuk memberi hadiah, hanya sekadar untuk memuaskan persoalan dari diri sendiri.

Nilailah sebaik-baiknya, dari segala sudut dan dari segala segi. Masakan dihotel, di restoran mewah, di medan selera, di gerai atau di kantin, tidak satu pun dapat menandingi masakan, ya masakan emak saya!

Mungkin anda terperanjat, mungkin anda tertanya-tanya. Adakah emak saya seorang tukang masak handalan yang mampu memasak resepi terkemuka dari udang galah, daging rusa atau ikan tuna?

Bukan begitu. Emak saya orang kampung yang bekerja membantu apak menoreh getah dan bersawah padi. Seingat saya, emak saya tidak pernah memasak udang galah, daging rusa atau ikan tuna. Tetapi, kenapa saya katakan masakan emak mengalahkan masakan di hotel, di restoran mewah, di medan selera, di gerai atau di kantin?

Emaklah yang membesarkan kami adik-beradik. Emak masakkan kami lauk ikan sawah masak lemak cili api campur pisang muda. Kalau apak dapat pencen dan dia beli ikan tenggiri, emak akan buat masak lemak cili api juga tetapi dicampur dengan kacang buncis.

Kalau emak pergi timba lubuk dan dapat ikan sembilang dan ikan puyu, emak goreng garing ikan
puyu itu dan ikan sembilang akan digoreng berlada. Lepas timba lubuk, emak petik kangkung di batas sawah dan digulai lemak.

Emak masak berbekalkan santan kelapa, sedikit bawang merah dan bawang putih. Kemudian dibubuhnya garam dan serbuk kunyit secukup rasa. Sesekali-sekala emak masukkan sedikit air limau kapas sebagai pemambah perisa. Kalau emak buat goreng berlada, dicampurnya sedikit bawang besar dan sedikit halia.

Emak tidak pernah gunakan rempah yang di impot dari luar negara. Emak hanya gunakan kelapa yang diambil dari belakang rumah. Emak tidak pernah masak menggunakan mikro-wave. Emak hanya jerangkan lauk di atas dapur kayu. Emak tidak pernah gunakan periuk stainless steel. Emak hanya gunakan belanga tanah.

Emak, kalau memasak lauk-pauk, dia suka apak dan anak-anak makan dengan berselera. Emak masak agar apak dan anak-anak kenyang dan sihat. Emak suka kalau lauk dan nasi habis. Emak tidak pernah mengharap itu dan ini sebagai balasan terhadap masakannya itu. Itulah keikhlasan emak!

Tukang masak hotel, mungkin mengharapkan masakan sedapnya mengembirakan pengunjung hotel dan mereka akan datang lagi. Bila pengunjung bertambah ramai, perniagaan hotel bertambah maju dan tukang masak boleh mendapat kenaikan gaji dan pangkat.

Tukang masak di kedai mamak, medan selera dan kantin, mungkin mengharapkan masakan sedapnya akan menarik lebih ramai pelanggan dan memberi keuntungan yang lebih banyak pada perniagaan mereka.

Tapi emak, masak dengan jiwa dan rohnya yang ikhlas. Untuk apak, untuk anak-anak. Emak tidak pernah terlintas untuk meraih sebarang balasan. Melihat apak dan anak-anak makan dengan berselera sudah cukup membahagiakannya. Emak dan apak senyum bila anak-anak sudah kenyang dan memandang jauh kehadapan untuk melihat anak-anak membesar menjadi anak-anak yang berguna dan berjasa.

Pada saya, sebab itulah, masakan emak, paling sedap di dunia!

Facebook saya https://www.facebook.com/deanmj9


#masakanpalingsedap #masakanibu #ibukusayang #memangsedap