Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

16 December 2016

Archery / Memanah


Masih ingat lagi, masa kecil dulu, dengan sekeping buluh, seutas rotan dan beberapa batang buluh runcing. Itulah set panah pertama saya. Masa itu, tiada sasaran khusus, maka ayam dan itiklah yang menjadi mangsa. Tidak lupa, pokok pisang disekeliling rumah.

Begitulah sejarah saya memanah. Bila dewasa, semuanya dilupakan begitu saja. Tetapi, pernah juga cuba-cuba menghidupkan minat ini kembali, tapi, pada masa itu peralatan memanah begitu mahal dan diluar kemampuan saya yang hanya makan gaji. Semuanya diimport dari luar negara. Maka,
terpadamlah minat terhadap sunnah Nabi yang amat utama ini.

Sehinggalah tiba ketentuan Allah Taala, saya diberhentikan kerja oleh majikan atas alasan tidak mencapai piawaian syarikat. Kecewa tetapi redha atas ketentuanNya. Tetapi, Dia tetap adil lagi pemurah. Waktu inilah saya dipertemukan dengan sunnah kekasihNya ini. Semasa bermalas-malas melawati lama Facebook, saya terjumpa satu ruangan mengiklankan busur dan anak panah dengan harga mampu milik dan berhampiran dengan taman kediaman saya.

17/07/2016 adalah hari bersejarah. Ini adalah hari pertama saya belajar memanah di Gelanggang Memanah Bukit Kelana Seremban. Bermula dari hari itu, hampir setiap hari saya akan turun berlatih. Ada kalanya bersama kawan-kawan, ada kalanya seorang diri. Saya tidak jemu-jemu meluncurkan anak panah satu demi satu. Target butt di situ hancur berkecai kebanyakannya hasil panahan saya saja.

Hari demi hari, panahan saya bertambah baik. Angka panahan bertambah satu demi satu hinga menjangkau puluhan ribu. Sebagai seorang penganggur pada masa itu, saya mempunyai limpahan masa untuk terus memanah. Bila tidak ke gelanggang, saya akan memanah pula di dalam setor di rumah saya.

Bila di gelanggang yang terbuka luas, saya memberi perhatian memperbaiki ketepatan panahan. Tetapi bila memanah di dalam ruangan sempit di dalam setor di rumah, saya lebih menumpukan kepada memperbaiki teknik-teknik nocking dan susunan anak panah. Saya turut menonton Youtube untuk menimba ilmu dari pemanah-pemanah di seluruh dunia.

Saya ingin menyeru kepada anda semua untuk belajar memanah. Ia adalah satu sukan yang amat menarik. Ia melatih kita untuk menjadi seorang yang kuat, tepat dan kreatif. Ia sesuai untuk sebarang peringkat umur. Saya sendiri telah menghampiri umur bersara semasa memulakan aktiviti ini. Ditambah lagi, memanah adalah satu tuntutan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Banyak hadis yang menyatakan perihal ini dan diantara hadis itu ada yang mengatakan bahawa keutamaan memanah ini melebihi tuntutan belajar berkuda.

Memanah juga adalah satu sukan yang mampu diceburi. Sekarang, kita boleh memilih peralatan yang diimport atau yang dibuat oleh penggiat memanah tempatan yang jauh lebih murah. Ia amat sesuai bagi peringkat permulaan dan tetap boleh digunakan sebagai peralatan hingga keperingkat lebih
tinggi. Memanah tidak berakhir disatu peringkat sahaja, malah ia boleh berkembang kepada panahan jarak jauh, panahan cepat, panahan berkuda dan berbagai lagi. Semua kemudahan ini kini telah ada di sekitar kita.

Kemahiran memanah juga boleh menjadi satu esset dalam arena mempertahan diri, agama dan negara. Mungkin kita tidak nampak keperluannya dalam bidang ini sekarang, tetapi bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan! Dizaman Rasulullah sehinggalah zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan Islam selepasnya, tentera-tentera Islam mempunyai unit-unit pemanah terhandal yang amat digeruni musuh.

Pada saya, memanah ini punyai tarikan yang tersendiri. Saya suka menarik busur dan membidik, saya seronok bila anah panah meluncur dan menjejak sasaran, saya teruja mendengar bunyi berdetup bila anak panah mencecah sasaran. Saya mencari-cari teknik memanah yang berbagai macam, saya bersemangat bila melihat pemanah-pemanah berkarya bersama busur dan anak panah, malah kuda mereka.

Insya Allah, saya akan meneruskan aktiviti ini. Saya ingin menyeru anda semua untuk turut bersama saya. Marilah kita bergiat dalam sukan ini. Ini adalah kesinambungan evolusi kemanusiaan, ini adalah sunnah Penghulu Kita, Kekasih Allah Taala, Nabi Muhammad S.A.W.

#pemanahbajet #sunnahNabi #kataDeanMj

02 December 2014

Usaha Kita Untuk Rajin Solat

Dalam satu tazkirah Zohor di tempat kerja saya, Ustaz ada menceritakan bahawa, selain berusaha bersungguh-sungguh dalam meluangkan masa untuk mengerjakan solat, kita juga perlu berdoa kehadrat Allah Taala agar diberi kekuatan.

Beliau telah memberikan doa yang boleh diamalkan oleh setiap orang agar usaha kita melaksanakan solat tepat pada waktunya, setiap waktu sepanjang hayat kita.

Doa itu merupakan sepotong ayat Al-Quran dari Surah Ibrahim ayat ke 40. Bersama ini saya sertakan imej yang mengandungi doa tersebut serta pengertiannya.

Surah Ibrahim Ayat 40 - Doa agar tetap mendirikan solat

Amalkanlah doa ini. Semoga kita akan dapat membantu kita dalam mengerjakan solat setiap waktu. Sebarkanlah doa ini kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Insyallah, kita akan mendapat manafaat dari usaha dakwah kita ini.


28 January 2013

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW
Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.
(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.)
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone