26 October 2015

Ragam di jalanraya

Dah berbelas tahun saya berulang-alik dari rumah ke pejabat. Jalan yang saya lalui, lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur. Sepanjang jalan, bermacam-macam ragam yang saya temui. Ragam pemandu dan ragam penunggang.

Pemandu, ye lah, pemandu kereta, pemandu bas dan pemandu lori. Mereka ini memang punyai tujuan masing-masing, jadi ada yang memandu laju dan ada pula yang lebih perlahan dan berhati-hati.

Kadang-kadang berlaku konflik antara mereka ini. Jika pemandu beradu sesama pemandu, saya tidak berapa peduli sangat. Yelah, mereka tu besar, jadi sebagai penunggang kapcai, saya faham sangat kemampuan saya. Jauhkan diri adalah pilihan yang lebih bijak.

Cuma, bila berlaku masalah antara penunggang dan pemandu, saya tidak dapat nak berdiam diri. Cubalah bayangkan, ketika anda menunggang pada kelajuan selesa sebuah kapcai, sekitar 90km/jam, ada lori atau bas ekpress berada dua depa di belakang anda sambil membunyikan hon menyuruh anda beralih ke lorong kecemasan supaya mereka boleh memotong anda.

Lorong kecemasan bukanlah satu laluan yang baik untuk sesiapa sahaja. Di situ ada banyak halangan seperti kereta yang berhenti kerana masalah tertentu, seperti kerosakan, tayar pancit dan sebagainya, sampah seperti cebisan tayar pecah, dan benda lain yang tercampak kesitu dari bahagian lebuhraya yang lain. Dan yang paling saya takuti, paku dan benda tajam lain yang boleh menyebabkan tayar pancit.

Bila sebut saja pasal paku, saya yakin anda semua sedar bahawa ada dianatara paku-paku ini tersepah kerana serpihan dari kayu-kayu yang bergelimpangan atau mungkin terjatuh dari lori-lori pembinaan yang selalu menggunakan laluan itu.

Tetapi saya pernah jumpa paku-paku yang bertaburan sejauh beberapa meter. Bila saya periksa, saya dapati paku ini tidak berkarat, malah berkilat, seperti paku-paku yang baru dibeli di kedai barangan pembinaan. Agaknya, mungkinkah paku-paku ini bersepah di situ dengan tidak sengaja atau sengaja ditaburkan untuk tujuan tertentu?

Bukannya saya ingin bersangka buruk, tetapi keadaannya sangat mencurigakan. Ditambah lagi dengan kebimbanagan saya kerana pakau-paku ini boleh menyebabkan tayar motorsikal meletup dan membahayakan penunggang seperti saya.

Sebagai satu komuniti bersaiz kecil, di dada lebuhraya yang berpenghunikan mesen-mesen raksaksa, saya mengambil langkah berhati-hati dan berundur diri. Uwan eden dulu koba, defensive riding! Tak payahlah nak berlawan dengan kereta-kereta, lori-lori dan bas-bas ekpres.

Kepada rakan penunggang yang lain, berhati-hati, berhemah dan bertimbang rasa. Kita ni mentimun, digelek luka, kena gelek pun luka!

Tetapi, saya tetap berbangga dan menyanjung golongan yang prihatin dan bertimbang rasa dari kalangan penunggang dan tidak kurang dari kalangan pemandu. Ada kalangan pemandu yang sanggup bertukar lorong untuk memberi laluan kepada penunggang kecil ini. Ada yang sanggup berhenti dan membantu bila sikecil ini ditimpa bencana.

Untuk mereka ini, syabas, tahniah, terima kasih; anda berjiwa BESAR!

10 October 2015

Budi Pada Bumi

Bila ada kesempatan pada hujung minggu, saya akan selenggara tanam-tanaman di laman rumah saya. Bunga kertas, japanesse rose, cili api dan beberapa jenis herba. Apabila melihat tanam-tanaman ini tumbuh subur, hati saya turut terhibur.

Tetapi, pada masa yang sama saya teringat seorang kawan yang mengatakan tanaman di lamannya hidup segan mati tak mahu. Saya bertanyakan samada dia membaja tanaman tersebut dengan teratur atau tidak. Jawapannya, “Tak pernah lah pulak........”

Memang patutlah kalau begitu.

Pada pendapat saya, tanam-tanaman ini, samada di kebun atau di halaman, di atas tanah atau di dalam pasu, ibarat anak-anak kita.

Kita sediakan tempat tinggal yang selesa untuk anak-anak, kita perlu tanah yang baik untuk tanaman kita.

Kita bagi minum secukupnya anak-anak kita, kita perlu siram scukupnya tanaman-tanaman kita.

Kita bagi makan pada setiap waktu makan anak-anak kita, kita perlu baja tanaman kita mengikut jadual pembajaannya.

Kita bersihkan anak-anak kita, dengan memandikan mereka, kita bersihkan persekitaran tanaman kita dengan mencabut rumput-rampai yang akan bersaing dengannya.

Kita memuji anak-anak kita bila mereka berbuat baik, kita memuji-muji tanam kita bila ia tumbuh subur, berbunga cantik dan berbuah lebat.

Seperti juga anak-anak kita yang tidak kita biarkan, tanam-tanaman juga begitu. Jika kita biarkan sahaja selepas ianya ditanam, ia akan tumbuh mengikut keadaan sekeliling dan bukan seperti yang kita mahukan. Kalau keadaan terlalu sukar, ia akan mati.

Jika kita mahukan tanama kita subur, kita perlu memainkan peranan aktif. Mereka mesti disiram sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Mereka juga mesti di baja sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi pokok dalam pasu dan dan pokok-pokok bunga kecil yang di tanam di atas tanah dan dua kali setahun bagi pokok besar yang di tanam di dalam kebun-kebun.

Daun dan rantingnya pula mesti ditetas bila perlu. Jika ia tumbuh tanpa kawalan, ia tidak enak dipandang.
Jika lebih rajin, bentuk dahan-dahan ini mengikut cita rasa kita. Ini selalu dilakukan oleh peminat-peminat tumbuhan unik yang selalu di kenali sebagai “bonzai”. Bagi pokok-pokok besar pula, dahan mesti di tetas untuk memaksimakan pembesaran dan cepat mengeluarkan hasil.

Seperti juga, kita mampu tersenyum jika anak-anak kita membesar dengan sihat dan segak, kita juga akan tersenyum jika tanaman-tanaman kita hidup subur, berbunga indah dan berbuah lebat.

SELAMAT BERBUDI KEPADA BUMI.......