30 December 2012

Tahun Baru 2013

Saya terpanggil pula untuk menulis sempena tahun baru ini. Bukan, perjalan setahun kerap terasa terlalu cepat.
2012 tidak terkecuali. Masih terlalu baru rasanya tapi sudah pun hampir berakhir. Apa pencapaian saya sepanjang 2012? Susah nak dituliskan di sini. Tidak banyak. Sepanjang tahun lepas, asyik sibuk deng isu-isu survival saja.
2013 bagaimana pula? Apa azam sempena tun baru ini?
Rancak fikiran ini dalam cuba untuk merancang sesuatu. Isu survival lagi ke? Harap-harap kawan-kawan semua lebih berjaya dari saya!
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 20013!


17 December 2012

Hutang Oh Hutang........

Hari ini saya menonton rancangan 'Tanyalah Ustaz'. Salah seorang penceramah berkata "Jangan halalkan hutang!"

Dia kata lagi, jika kita tidak halalkan, orang yang berhutang akan lebih berusaha untuk membayarnya kerana kalau dia tidak membayar hutang tersebut di dunia, ia akan dituntut diakhirat kelak.

Dia juga berkata, hutang itu adalah modal atau eset kita di hari akhirat nanti. Setiap hutang yang tidak dibayar di dunia akan dibayar di akhirat nanti. Cara pembayaran ialah dengan pahala siberhutang yang akan dipindahkan kepada sipemberi hutang. Jika siberhutang tidak ada pahala, dosa sipemberi hutang akan dipikulkan kepada siberhutang.

Saya tahu semua ini adalah benar, cuma saya kurang berkenan dengan pendirian sebegini. Pada pendapat saya, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang amat pemaaf. Saya yakin dia tidak akan bersifat seperti ini.

Saya juga yakin, Allah SWT teramat kaya lagi sangat pemurah. Dia memberi balasan kepada satu kebajikan dengan 10 kebajikan. Ini bermakna, jika kita halalkan hutang seseorang, Insyaallah, balasannya adalah sepuluh kali lebih besar dari jumlah yang kita pinjamkan.

Tambahan pula, kemurahan hati kita yang menghalalkan hutang orang kepada kita, mungkin akan membawa hikmah keinsafan kepada siberhutang tersebut.

Setahu saya, isu hutang adalah amat penting. Orang yang berhutang, biasanya amat memerlukannya. Sebab itulah juga, ada pendapat yang mengatakan, jika kita ada harta dan ingin mendermakannya untuk tujuan kebajikan sebuah masjid, lalu pada masa yang sama ada orang yang memohon untuk berhutang atau meminjam harta kita itu, adalah lebih baik dan lebih afdhal jika kita hutangkan atau pinjamkannya kepada orang tersebut.

Tapi, ini pendapat saya saja. Pendapat tuan-tuan mungkin berlainan. Saya serahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara tuan-tuan semua!

15 October 2012

Gunung Jerai

Saya sekeluarga telah berkunjung ke Gunung Jerai sempena menyambut harijadi isteri dan anak-anak pada bulan Oktober ini.

Lawatan ini menjadi kenangan manis kerana keadaan di sana yang sangat nyaman. Suhu purata sekitar 20-22 Celcius itu amat sesuai untuk merehatkan fizikal dan minda.

Kawasan resort The Regency itu juga agak selesa dengan harga yang berpatutan. Bilik juga bersih dan diurus dengan baik.

Restoran kepunyaan resort juga selesa dan bersih. Cuma, menu sarapan agak terhad. Menu lain mencukupi untuk jamuan keluarga tetapi rasa makanan yang dihidangkan boleh diperbaiki.

Yang agak sukar cuma perjalanan naik dan turun. Keadaan jalan sederhana cuma agak kecil dan sempit. Tambah menyukarkan bila ada kerja-kerja penyelengaraan yang menyebabkan sebahagian jalan itu ditutup.

Tetapi, andainya ada peluang, kami akan kesana lagi. Pengalaman berada di sana, lebih banyak yang positif dari yang negatif.

Saya berani mencadangkan destinasi ini kepada semua. Saya yakin ramai diantara anda akan berpuashati.

02 September 2012

Semuanya bemula di sini!


Hari minggu memang sibuk. Walaupun tidak berada di pejabat, bukan bermakna boleh goyang kaji saja.

Hari minggu kena bantu isteri di rumah, kena ke pasar untuk membeli bekalan lauk-pauk. Dan hari minggu juga kena hadiri jemputan kenduri.

Kenduri kahwin adalah sinonim dengan hari minggu. Ini kenduri merayakan jalinan ikatan antara lelaki dan perempuan. Ikatan perkahwinan yang membawa gelaran suami dan isteri.

Segalanya bermula disini! Dulu seorang sekarang sepasang. Dulu sepuluh sekarang berpuluh.

Cabaran hidup bersuami isteri bukan boleh tertera dalam satu muka surat, malah berkajang-kajang kertas pun belum tahu mampu memcatatkannya.

Kepada semua yang telah mengikat janji bersuami isteri saya ucapkan

Alhamdulillah, Seribu Tahniah!

Anda telah membina masjid, anda telah mengekang kemaraan syaitan dan iblis!

Segalanya bermula disini dan anda sijurumudi! Anda tentukan haluan dan anda perlu jadi pahlawan. Dilanda ribut anda jangan kelam kabut. Dilanda taufan anda jangan karam!

Tabahkan hati, kuatkan iman. Insyaalah, anda akan nampak sinar kejayaan!

18 August 2012

Jumaat Terakhir Ramadhan Ini

Saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Negara. Selepas solat, saya tidak lepas peluang untuk mengunjungi gerai-gerai sekitar masjid itu.

Sesuatu menarik perhatian saya. Sejak kebelakangan ini gerai Jumaat ini sudah ada peniaga bukan Islam yang tidak mahu melepaskan peluang untuk meraih perhatian pengunjung masjid tersebut.

Untuk minggu ini, ada 4-5 gerai milik peniaga Cina. Mereka menjual perbagai produk dari alat urutan badan, alatan DIY dan lain-lain lagi.

Yang lebih menarik, pelanggan penuh mengerumuni mereka. Dari pemerhatian saya, mereka petah mempromosi produk. Layanan mereka juga amat mesra.

Bukan saya kata peniaga Melayu tidak begitu, cuma saya tertarik dengan ragam masyarakat Malaysia yang saya rasakan, amat membanggakan. Kalau produk baik dan layanan mesra..... Warna kulit dan latar belakang budaya tidak akan menjadi penghalang!

Negaraku...Oh negaraku.......

12 August 2012

Pasar Ramadhan

Dah pertengahan Ramadhan sekarang ni. Tak lama lagi Syawal akan muncul pula.

Sepanjang Ramadhan, saya selalau juga ke Pasar Ramadhan. Memang ramai pengunjungnya. Sambil memilih juadah tu, saya memerhati juga keadaan sekeliling.

Saya dapati, ada gerai yang penuh sesak dengan pelanggan. Tidak kurang pula gerai yang lengang. Ada pula yang dikunjungi oleh seorang dua pelanggan sahaja.

Mula-mula saya rasa hairan, tetapi bila saya renung semula, saya membuat beberapa kesimpulan.

1) Gerai-gerai ini mempunyai pengunjung tersendiri.

2) Mutu produk yang dijual mungkin kurang menjadi perhatian ramai.

3) Perniagaan memang punyai putaran musim tersendiri. Kadang-kadang cemerlang dan kadang-kadang suram.

Saya mulai sedaran sekarang rakyat Malaysia telah faham citarasa diri mereka. Mereka berbelanja pada yang mereka betul-betul suka dan betul-betul mereka mampu.

Sebagai peniaga, kita tidak boleh lagi ambil ringan pasal mutu samada barangan atau mutu layanan. Kedua-dua ini boleh menjadi sumber jatuh bangun perniagaan kita.

Perniagaan bermusim sekecil Pasar Ramadhan telah membuktikannya. Apatah lagi perniagaan bertaraf dan berprestij.......

Kena direnung dengan tajam ni......

24 May 2012

Pujangga Buat Guru

Makin susah mencari kelapangan untuk membuat posting di blog saya ini. Tapi, tiba-tiba saya teringat Hari Guru. Jadi saya tuliskan sesuatu di sini.

http://pena11.blogspot.com/2012/05/pujangga-buat-guru-buat-isteri-saya-dan.html

SELAMAT HARI GURU!

10 May 2012

Bersih 3.0

Lama betul saya tak update blog ni. Bukan apa, terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan, hinggakan blog ini terabai.

Bersih 3.0..... Saya tidak terlibat dengan event ini. Tak tahulah samada itu satu tindakan yang bijak atau tidak. Tapi, buat masa ini saya masih belum tertarik untuk terlibat.

Bukan saya tak mahu berubah tetapi saya masih ada agenda yang saya rasakan lebih utama bagi diri saya dan keluarga.

Dulu, saya rasakan usaha saya untuk saya sahaja. Sekarang saya telah menilai semula strategi tertsebut. Saya dapati saya perlu buat sesuatu untuk kesinambungan ahli-ahli keluarga saya yang mungkin memerlukannya.

Anda bagaimana? Tidak inginkan anda meninggalkan satu legacy untuk faedah ahli keluarga anda suatu hari nanti?

Keputusan di tangan anda semua. Fikirkanlah........

05 March 2012

Cuti rehat!

Saya dah lama bekerja, makan gaji. Pergi pagi balik petang. Hari demi hari. Bertahun-tahun dah lamanya.
Dah namanya bekerja, biasalah, bermacam-macam masalah saya tempuhi. Kebanyakan perlu diselesaikan tapi ada juga yang terbiar begitu saja. Buntu......
Sesekali bila dapat cuti, lega rasanya. Dapat lupakan sementara masalah-masalah kerja. Aman jiwa raga.......
Nanti! Betulkah begitu? Masa cuti tiada masalah?
Lupakanlah! Masalah ada di mana-mana. Masa bekerja ada masalah pejabat, masa cuti pula ada masalah cuti, masalah rumah, masalah keluarga. Eeeiiikkkk..... panjang pulak senarai masalahnya.
Senyum semua. Masalah ada di mana-mana. Jangan susah, jangan gundah, jangan putus asa. Biasa je tu..........
Bangun dan hadapi. Kita akan berjaya selesaikannya, Insyallah!




28 February 2012

Covered Walkway KLCC - Pavillion

Saya sempat jalan-jalan melalui jambatan pejalan kaki dari KL Convention Centre ke Pavillion. Jauh juga tapi amat selesa sebab berbumbung dan ada penyaman udara.

Sampai di Pavillion (pintu masuk utama) nampak pula Lot 10, dekat saja. Dari Lot 10, memang mudahlah untuk ke Sg Wang.

Dalam perjalanan balik, hujan turun dengan lebat. Tapi dalam jejambat tu mana kena hujan. Sangat memudahkan. Kalau tak ada jejambat tu pasti kecoh untuk balik semula ke KL Convention Centre.

Kita biasa dengar rungutan yang mengatakan pembinaan jejambat itu amat mahal, menghabiskan duit rakyat dan berbagai lagi.

Memang betul. Mahal. Tapi setelah melaluinya sekali saya dapati ia amat memudahkan perjalan antara KLCC/Convention Centre, Hotel Impiana, Pavillion dan bangunan-bangunan lain sepanjang jalan P Ramlee, Jalan Pinang dan Jalan Sultan Ismail.

Yang masih tak puas hati, boleh cuba dulu. Lepas itu kalau tak puas hati juga, terpulanglah............

Bukan Senang Nak Senang!

Biasa dengar kan? Memang betul. Memang tepat.
Kalau kita harapkan kerja dari 8am hingga 4pm dapat memberi kita apa yang kita hajatkan, jangan terkejut jika telah sekian lama apa yang kita hajatkan, hanya tinggal hajat saja.
Kita kena berusaha dengan gigih. Kita kena cari jalan dan ikhtiar. Kita kena rancang, kita kena laksanakan. Kita kena gunakan setiap anggota kurniaan Allah SWT ini.
Andainya, kita ingin berehat-rehat sahaja bila sampai di rumah selepas waktu kerja. Andainya, kita tidak boleh lekang dari depan kaca tv setiap malam. Andainya hujung minggu kita penuh dengan acara buat air liur basi..... Tidak banyak peluang kita menyampaikan hajat!
Tak percaya? Terpulanglah......... Tapi cubalah tengok keliling kita. Perhatikan dengan teliti. Anda mungkin akan percaya............


23 February 2012

Penghargaan

Hari ini majlis penghargaan kepada semua yang terlibat dalam tranformasi syarikat saya.
Saya, terlibat sikit je. Jadi penghargaannya sedikit jugalah. Tapi tu tak pentinglah kan. Apa yang penting, saya masih boleh cari makan di syarikat ini.
Tranformasi ini adalah satu usaha syarikat untuk melonjakkannya dari segi imej dan pencapaian. Kira macam hijrahlah ni. Dari sebuah syarikat yang baik kepada yang lebih baik dan cemerlang.
Samada transformasi ini betul-betul berjaya seperti apa yang dirancangkan, belumlah dapat ditentukan lagi. Tetapi banyak usaha yang telah dirancangkan. Sebahagiannya telah pun dilaksanakan.
Selebihnya..... time will tell.................


14 February 2012

Hujan lebat di Jln Sultan Ismail

Saya ada urusan di Komplek Dayabumi. Nak cepat, naik motor lah. Tapi, tengah jalan hujan turun pula.
Tak ada pilihan, kenalah berhenti di bawah jambatan. Kalau tak nanti basah kuyup pula.
Sementara nak tunggu hujan berhenti, saya update lah blog saya ni.
Nasib kita yang naik motor memang begini. Kadang-kadang panas terik, kadang-kadang hujan pula. Tapi, inilah pengangkutan yang paling ideal kat KL yang selalu sesak ni.
Hujan dah reda...ciow!


07 February 2012

Sunset lagi!

Masa yang sama seperti posting terdahulu. Tapi kali ini tak guna digitla zoom pada kamera telefon yang saya gunakan.
Hasilnya, imej matahari lebih kecil tapi sudut pandangan lebih luas dengan kepulan awan yang menarik.

Matahari terbenam!

Saya memang minat ambil gambar pemandangan. Paling seronok kalau ada pemandangan matahari terbenam.
Tapi, macam biasalah. Kalau masa bawa kamera, susah nak jumpa pemandangan yang cantik. Tapi, kalau masa tak ada kamera tu, ada saja yang menarik.
Gambar ini saya rakam semasa dalam perjalanan pulang dari pejabat. Mujur ada kamera handphone. Walaupun kualiti gambar tidak berapa bagus, tapi pada masa itu, hanya itu sajalah yang ada.....
http://myd40x.blogspot.com
http://mya330.blogspot.com

05 February 2012

Taraf hidup


Saya singgah di Jusco Seremban 2 semalam. Makan tengahari di food court.

Nasi, ayam (comel je saiznyer) sayur 2 jenis dan air berperisa mangga. Harga yang perlu saya bayar ialah RM10.50.

Wow.....ni sama seperti harga makanan di Suria KLCC. Saya termenung panjang juga. Tapi menung kosong je. Tak ada sebarang solution yang dapat saya simpulkan.

Kemudian saya singgah pula di Giant Senawang. Belilah barangan dapur. Oleh kerana hari Sabtu, malas nak beli banyak sebab susah nak bawa, tak de plastic bag.

RM400 lebih jumlah pembelian. Amboiiii..... Tak de lah banyak mana pun. Sekali lagi saya termenung. Dan seperti tadi juga, tiada sebarang solution yang dapat saya fikirkan.

Dalam mahal-mahal tu pun, tadi semasa di Jusco parking penuh juga. Di Giant pun tak kurang juga. Saya termenung lagi, tapi kali ini saya terfikirkan sesuatu.

Harga barangan, runcit atau apa jua, tidak akan dapat saya kawal. Tetapi perbelanjaan boleh saya buat dengan lebih bijak. Tetapi ini mungkin tidak akan memberi kesan yang banyak kerana melibatkan barangan keperluan yang terpaksa dibeli jua, walau pun harganya telah molonjak terlalu tinggi (di pasar Ampangan harga ikan merah pernah mencecah RM45 sekilogram baru-baru ini)

Kawan saya pernah berkata...... Pedulikan kenaikan harga barang; kita tidak boleh berbuat apa-apa. Tingkatkan saja pendapatan kita kerana itu lebih mudah diusahakan.........

Ada betulnya kata-kawan saya tu. Dan saya termenung lagi......................


28 January 2012

Penderaan

Dulu, kalau ada kes penderaan, mesti pada kanak-kanak. Sesekali pada isteri-isteri. Kadang-kadang pada pembantu rumah. Kebanyakan yang menjadi mangsa; wanita!

Tapi, kebelakangan ini, dah terbalik pula. Kita dapat baca, kes penderaan kepada suami, atau secara lebih umum; lelaki lah tu....

Mula-mula saya rasa macam nak gelak juga. Tapi, bila saya renung kembali.......

Zaman awal revolusi, ada pemimpin wanita seperti Joan of Arc....

Zaman Nabi ada usahawan wanita yang amat berjaya, kemudiannya jadi isteri Rasulullah, Khadijah...

Selepas kewafatan Nabi, menjadi sumber rujukan umat Islam, Aisyah...

Ramai lagi tokoh-tokoh dari kalangan wanita di zaman moden ini. Mereka melibatkan diri dalam berbagai bidang. Dalam perniagaan, menerajui dunia korperat, ahli politik dan berbagai lagi.

Jadi, dari segi kemampuan, memang wanita tidak jauh ketinggalan dari lelaki!

Jadi, agaknya...apakah kemungkinan kaum yang secara umumnya dikategorikan sebagai 'lemah' ini, melakukan penderaan terhadap lelaki?

Ha..ha..ha..
Saya sedang berfikir dengan rancak ni.... Apa pendapat anda semua?

06 January 2012

Cerah dan panas


Sejak seminggu kebelakangan ini, cuaca amat baik sekali. Saya rasa, tenang bila bergegas ke pejabat sebab tak perlu risau hujan akan turun dipertengahan jalan. Cuaca pagi yang cerah selalu turut membuatkan mood kita jadi cerah.

Kita perlu bersyukur akan nikmat Allah SWT ini. Mungkinkah Dia ingin menunjukkan kepada kita bahawa ada kemuliaan dan kenikmatan akan diturunkannya buat kita!

Namun sebagai manusia,saya kadang-kadang lupa juga. Bila keadaan cerah, matahari memancar, terasa panaslah pulak! Terleka sebentar, terlalai seketika.....

Saya harap, sahabat-sahabat semua tidak begitu......Insyallah!

05 January 2012

Fikir-fikir.....

Bukan mudah untuk membina bangunan seperti ini. Perlukan modal dan kepakaran. Tapi sebelum itu kena perlu ada kemahuan!
Disebalik kemampuan dan kepakaran yang dibuktikan dengan terbinanya bangunan itu, adakah kita punya pemikiran yang secanggih itu juga? Setakat ini, bolehkah daya pemikiran sedia ada membawa kita ke era yang lebih canggih, lebih berjaya dan lebih berdaya saing?
Ha..ha..ha.. Tiba-tiba semua ini berlingkar dalam fikiran saya. Kenapa ya?

Jangan gaduh!

Saya dapati sekarang ini terlalu banyak pertelingkahan antara kita sesama Islam. Ada yang berpendapat begitu dan ada pula yang begini!
Risau saya dibuatnya. Kita memang dah ada ramai musuh, tetapi kita berbalah pula sesama sendiri.
Saya sendiri memang kurang arif mengenai isu-isu yang di perbalahkan, tetapi secara peribadi saya ingin sangatlah untuk melihat kita seiringan dalam membentuk masa depan bersama Islam.