Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

12 February 2015

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat


Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.


Pengajian : 
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama.

Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat. Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika. Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah.

Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah. Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua. Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris. Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun.

Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan : 
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun. Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik : 
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang. Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa. Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil. Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah : 
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah. Seorang Petah Bercakap Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi. Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan : 
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung. Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan : 
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan : 
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki. Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama. Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited : 
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut. Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh : 
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.


Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.


28 January 2013

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW
Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.
(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.)
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone







17 December 2012

Hutang Oh Hutang........

Hari ini saya menonton rancangan 'Tanyalah Ustaz'. Salah seorang penceramah berkata "Jangan halalkan hutang!"

Dia kata lagi, jika kita tidak halalkan, orang yang berhutang akan lebih berusaha untuk membayarnya kerana kalau dia tidak membayar hutang tersebut di dunia, ia akan dituntut diakhirat kelak.

Dia juga berkata, hutang itu adalah modal atau eset kita di hari akhirat nanti. Setiap hutang yang tidak dibayar di dunia akan dibayar di akhirat nanti. Cara pembayaran ialah dengan pahala siberhutang yang akan dipindahkan kepada sipemberi hutang. Jika siberhutang tidak ada pahala, dosa sipemberi hutang akan dipikulkan kepada siberhutang.

Saya tahu semua ini adalah benar, cuma saya kurang berkenan dengan pendirian sebegini. Pada pendapat saya, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang amat pemaaf. Saya yakin dia tidak akan bersifat seperti ini.

Saya juga yakin, Allah SWT teramat kaya lagi sangat pemurah. Dia memberi balasan kepada satu kebajikan dengan 10 kebajikan. Ini bermakna, jika kita halalkan hutang seseorang, Insyaallah, balasannya adalah sepuluh kali lebih besar dari jumlah yang kita pinjamkan.

Tambahan pula, kemurahan hati kita yang menghalalkan hutang orang kepada kita, mungkin akan membawa hikmah keinsafan kepada siberhutang tersebut.

Setahu saya, isu hutang adalah amat penting. Orang yang berhutang, biasanya amat memerlukannya. Sebab itulah juga, ada pendapat yang mengatakan, jika kita ada harta dan ingin mendermakannya untuk tujuan kebajikan sebuah masjid, lalu pada masa yang sama ada orang yang memohon untuk berhutang atau meminjam harta kita itu, adalah lebih baik dan lebih afdhal jika kita hutangkan atau pinjamkannya kepada orang tersebut.

Tapi, ini pendapat saya saja. Pendapat tuan-tuan mungkin berlainan. Saya serahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara tuan-tuan semua!

05 January 2012

Jangan gaduh!

Saya dapati sekarang ini terlalu banyak pertelingkahan antara kita sesama Islam. Ada yang berpendapat begitu dan ada pula yang begini!
Risau saya dibuatnya. Kita memang dah ada ramai musuh, tetapi kita berbalah pula sesama sendiri.
Saya sendiri memang kurang arif mengenai isu-isu yang di perbalahkan, tetapi secara peribadi saya ingin sangatlah untuk melihat kita seiringan dalam membentuk masa depan bersama Islam.