26 October 2015

Ragam di jalanraya

Dah berbelas tahun saya berulang-alik dari rumah ke pejabat. Jalan yang saya lalui, lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur. Sepanjang jalan, bermacam-macam ragam yang saya temui. Ragam pemandu dan ragam penunggang.

Pemandu, ye lah, pemandu kereta, pemandu bas dan pemandu lori. Mereka ini memang punyai tujuan masing-masing, jadi ada yang memandu laju dan ada pula yang lebih perlahan dan berhati-hati.

Kadang-kadang berlaku konflik antara mereka ini. Jika pemandu beradu sesama pemandu, saya tidak berapa peduli sangat. Yelah, mereka tu besar, jadi sebagai penunggang kapcai, saya faham sangat kemampuan saya. Jauhkan diri adalah pilihan yang lebih bijak.

Cuma, bila berlaku masalah antara penunggang dan pemandu, saya tidak dapat nak berdiam diri. Cubalah bayangkan, ketika anda menunggang pada kelajuan selesa sebuah kapcai, sekitar 90km/jam, ada lori atau bas ekpress berada dua depa di belakang anda sambil membunyikan hon menyuruh anda beralih ke lorong kecemasan supaya mereka boleh memotong anda.

Lorong kecemasan bukanlah satu laluan yang baik untuk sesiapa sahaja. Di situ ada banyak halangan seperti kereta yang berhenti kerana masalah tertentu, seperti kerosakan, tayar pancit dan sebagainya, sampah seperti cebisan tayar pecah, dan benda lain yang tercampak kesitu dari bahagian lebuhraya yang lain. Dan yang paling saya takuti, paku dan benda tajam lain yang boleh menyebabkan tayar pancit.

Bila sebut saja pasal paku, saya yakin anda semua sedar bahawa ada dianatara paku-paku ini tersepah kerana serpihan dari kayu-kayu yang bergelimpangan atau mungkin terjatuh dari lori-lori pembinaan yang selalu menggunakan laluan itu.

Tetapi saya pernah jumpa paku-paku yang bertaburan sejauh beberapa meter. Bila saya periksa, saya dapati paku ini tidak berkarat, malah berkilat, seperti paku-paku yang baru dibeli di kedai barangan pembinaan. Agaknya, mungkinkah paku-paku ini bersepah di situ dengan tidak sengaja atau sengaja ditaburkan untuk tujuan tertentu?

Bukannya saya ingin bersangka buruk, tetapi keadaannya sangat mencurigakan. Ditambah lagi dengan kebimbanagan saya kerana pakau-paku ini boleh menyebabkan tayar motorsikal meletup dan membahayakan penunggang seperti saya.

Sebagai satu komuniti bersaiz kecil, di dada lebuhraya yang berpenghunikan mesen-mesen raksaksa, saya mengambil langkah berhati-hati dan berundur diri. Uwan eden dulu koba, defensive riding! Tak payahlah nak berlawan dengan kereta-kereta, lori-lori dan bas-bas ekpres.

Kepada rakan penunggang yang lain, berhati-hati, berhemah dan bertimbang rasa. Kita ni mentimun, digelek luka, kena gelek pun luka!

Tetapi, saya tetap berbangga dan menyanjung golongan yang prihatin dan bertimbang rasa dari kalangan penunggang dan tidak kurang dari kalangan pemandu. Ada kalangan pemandu yang sanggup bertukar lorong untuk memberi laluan kepada penunggang kecil ini. Ada yang sanggup berhenti dan membantu bila sikecil ini ditimpa bencana.

Untuk mereka ini, syabas, tahniah, terima kasih; anda berjiwa BESAR!

1 comment:

  1. mana tempat banyak orang tempat tu la banyak ragam..hahaha...lama dah blog ni..since 2004 tu..hebat bro..saya baru start 2013

    ReplyDelete