25 September 2015

Mantai



Hari Mantai adalah hari sebelum awal Ramadhan, sebelum Aidilfitri dan sebelum Aidiladha. Dihari ini, dilakukan persedian terakhir untuk musim-musim tersebut. Bagi penduduk kampung saya, hari ini amat bermakna dan istimewa.

Beberapa bulan sebelum itu, ada orang tertentu telah diamanahkan untuk mencari kerbau untuk disembelih pada hari mantai. Kerbau yang dipilih berdasarkan anggaran permintaan dari orang-orang kampung. Semua bahagian kerbau itu mestilah dibeli oleh mereka untuk mengelakkan sebarang kerugian. Kerbau yang dipilih pula, hanyalah kerbau jantan sahaja.

Kerbau yang telah dibeli itu dibahagikan mengikut bahagian tertentu. Seingat saya, satu bahagian berharga RM10.00. Jika kerbau berharga RM1,000.00, ini bermakna ada 100 bahagian yang boleh dibeli oleh orang-orang kampung. Nama pembeli dicatit dengan jumlah pembelian mereka. Tiada sebarang keuntungan akan diambil dari transaksi ini. Jika kerbau dibeli dengan harga RM1,000.00, maka jumlah kutipan dari jualan dagingnya tersebut adalah RM1,000.00 juga.

Walau bagaimana pun, ada beberapa bahagian dari sembelihan tersebut akan dijual secara ‘lelong’. Antara bahagin yang saya masih ingat ialah kepala, kulit, tunjang (kaki kerbau yang telah diceraikan dagingnya), kitab (perut kerbau yang didalamnya terkandung najis), limpa dan ekor. Hasil jualan secara lelong ini akan digunakan sebagai upah kepada orang-orang yang bekerja seperti mencari kerbau, mengikat dan menyembelih. Jika ada lebihan, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung surau. Kerja-kerja ringan seperti melapah dan meracik daging dibuat secara sukarela dan bergotong-royong.

Ada berbagai aktiviti pada pada hari mantai ini, seperti membakar lemang, merebus ketupat dan sebagainya, tetapi aktiviti utama ialah penyembelihan kerbau untuk tujuan hidangan seperti gulai dan rendang. Selalunya pada hari ini, anak-anak yang tinggal di bandar telah pun berada di kampung dan turut melibatkan diri dalam kerja-kerja gotong-royong sepanjang hari.

Sekitar pukul 7.00 pagi, ramai yang sudah berkumpul di tapak sembelihan. Pada hari mantai ini, kami sama-sama akan bergotong-royong untuk memudahkan kerja-kerja menyembelih, melapah, meracik dan mengedarkankan daging-daging yang telah siap dibahagi-bahagikan. Masing-masing telah bersedia dengan pakaian basahan (pakaian yang digunakan semasa bekerja), parang dan pisau yang sudah diasah tajam.

Bila telah cukup kakitangan, kerbau akan diikat. Ia dilakukan oleh orang-orang yang mahir mengikat kerbau untuk tujuan sembelihan. Kita tidak mahulah nanti, semasa disembelih, kerbau itu terlepas dari ikatannya. Ikatan mesti kuat, namun, ikatan tidak bolih disimpul mati. Nanti susah pula untuk dibuka bila diperlukan. Disamping orang-orang yang mahir, dibantu juga oleh anak-anak muda. Mereka ini lebih bertenaga dan sambil itu turut memerhati dan belajar. Ilmu ini akan digunakan dihari mendatang.

Tali akan diikat pada satu kaki kerbau dan disilangkan pada kaki yang sebelah lagi. Ini dilakukan pada kaki hadapan dan kaki belakang. Bila kedua-dua tali ini ditarik serentak, kerbau itu akan tumbang dan terbaring di atas tapak sembelihan.

Ikatan dikemaskan lagi dan kaki hadapan dan kaki belakang diketemukan dengan menindihkannya dan sekali lagi diikat kemas. Kerbau itu kemudiannya ditarik dan dipusingkan untuk mengadap kiblat. Satu lubang digali betul-betul dibawah leher kerbau yang sudah diikat itu. Pada pendapat saya, lubang ini bertujuan untuk menakung darah apabila ia disembelih dan juga sebagai ruang agar parang sembelihan dapat bergerak dengan mudah agar sembelihan dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebelum disembelih, tali hidung kerbau akan ditarik kebelakang dan diikatkan ke tanduk. Sebatang kayu akan dimasukkan diruang kosong antara tali dan hidung kerbau tersebut dan kayu itu dibenamkan ke dalam tanah sambal dipegang oleh seorang pekerja. Ia bertujuan untuk mengelakkan lembu itu meronta dengan tidak terkawal. Sekeping kayu lebar pula akan diselitkan antara kaki kerbau itu dari arah belakang. Beberapa orang yang berbadan besar akan berdiri di atas kayu tersebut. Jika kerbau itu bertanduk panjang, seorang lagi akan ditugaskan memegang tanduk tersebut dan memastikan kedudukan kepala kerbau sesuai untuk penyembelihan.

Selepas semua persediaan itu dibuat, tukang sembelih akan memulakan tugasnya. Seorang pembantu akan menyiram air keleher kerbau tersebut. Sebaik sahaja selesai, sembelihan akan dilakukan. Semua yang terlibat mesti berhati-hati. Kerbau mesti berada dalam keadaan diam, agar sembelihan yang sempurna dapat dilakukan. Jika kerbau meronta, kekangan mestilah dikuatkan. Tukang sembelih tidak boleh terganggu oleh apa jua, sepanjang dia melakukan sembelihan. Parang sembelih yang telah mula menghiris leher kerbau tersebut tidak boleh diangkat sehingga sembelihan sempurna.

Tukang sembelih adalah dari orang-orang terpilih. Mereka arif tentang cara-cara menyembelih. Semua syarat-syarat sembelihan mesti di lakukan dengan sempurna. Sembelihan dilakukan dengan parang sembelih, sebilah parang yang panjangnya lebi kurang 45cm, amat tajam dan selalunya dibuat khas untuk tujuan menyembelih binatang sahaja.

Selepas sembelihan selesai, kekangan akan di buka. Sebaik sahaja rontaan kerbau itu reda, semua tali pengikat juga akan dibuka. Kerbau itu mestilah dipastikan mati kerana sembelihan tersebut dan bukannya kerana ikatan dan kekangan terhadapnya.

Selepas kerbau itu mati, kerja melapah akan dimulakan. Kulit akan didipisahkan dari badan kerbau yang telah mati tersebut. Lapahan mesti dibuat dengan cermat supaya tiada daging akan tertinggal dan melekat pada kulit yang telah dilapah dan kulit yang dilapah pula tidak koyak. Kemudian anggota kerbau itu akan dipisahkan-pisahkan dan diserahkan kepada beberapa kumpulan orang kampung yang akan meracik daging pejal dan dikumpulkan disuatu tempat.

Pada masa yang sama, bahagian-bahagian lain turut diuruskan. Tulang rangka dipotong dengan kapak, hati dipotong kecil dengan pisau yang tajam agar tidak hancur dan bahagian perut tertentu dibasuh dan dibuang najisnya.

Bila telah selesai meracik daging pejal (daging yang tidak mengandungi lemak yang banyak), ia akan dibahagi-bahagikan mengikut bahagian yang telah ditetapkan. Jika 100 bahagian, bermakna ada 100 longgokan daging terhampar di atas satu kawasan lapang yang menunggu masa untuk diserahkan kepada orang-orang yang telah memesannya. Pada tiap bahagian juga ditambah dengan sedikit tulang, hati, perut (yang telah dibersihkan) dan daging cincang (daging yang banyak lemak yang kadang-kadang dipanggil juga dengan nama tetel).

Selepas selesai membahagikan daging, kerja melelong akan dilakukan. Tukang lelong akan meletak harga asas. Para hadirin akan menawarkan harga padanya secara berganti-ganti. Tawaran paling tinggi dan tidak di lawan oleh pihak lain, akan diterima dan barang lelongan akan diserahkan kepadanya. Bayaran akan dilakukan sebaik sahaja barang lelongan diserahkan. Proses ini diulang sehingga kesemua barang lelongan habis di jual.

Selepas kerja lelongan selesai, barulah pembahagian daging sembelihan dibuat kepada orang yang memesan mengikut bahagian-bahagiannya. Pada masa yang sama, upah-upah kerja diberikan kepada mereka yang terlibat. Antara yang saya masih ingat ialah tukang cari kerbau mendapat upah sebanyak RM70 dan tukang ikat mendapat upah sebanyak RM5 seorang.

Sementara itu, tapak sembelihan dibersihkan bersama-sama. Cebisan-cebisan daging dan bahan yang tidak berguna ditanam agar tidak berbau busuk dan tidak dihurung lalat. Semua urusan hari mantai ini akan selesai sekitar 11.00 – 12.00 pagi.

Pada sebelah malam pula, orang-rang kampung akan berkumpul di surau untuk menunaikan solat Isyak berjemaah. Selepas solat, doa selamat dah tahlil akan dibacakan. Kemudian, semua yang hadir akan sama-sama menjamah hidangan yang dibawa bersama. Nasi berlauk rendang, masak merah, masak lemak cili api dan sup (dikampung saya lebih dikenali sebagai “rebus”). Kuih-muih, pulut kuning, lemang dan ketupat pun ada………………..

Itulah pengalaman saya semasa kecil. Ini adalah cerita dikampung saya, sebuah kampong kecil di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Ia mungkin berlainan dikampung lain atau di daerah lain.

No comments:

Post a Comment