Teringat zaman kanak-kanak saya dulu.
Masa tu, kalau dapat naik kereta, rasa teramat seronok.
Maklumlah, masa tu bukan ramai orang kampung yang memiliki kereta. Yang ada
hanyalah Cikgu Besar sekolah yang bawa kereta Ford Escort. Kemudian, ada pula
Pakcik Teksi teksi yang bawa teksi warna hijau gelap, saya tidak dapat ingat
jenamanya. Sesekali, orang kaya kampung bawa kereta Moris Minor.
Tetapi yang paling saya tidak boleh lupa, ialah ketika
berpeluang menaiki kereta Mini. Saya tak pasti model apa, samada Cooper atau
Clubman tetapi memang terasa amat seronok pada masa itu. Tambahan pula, dapat
duduk dikerusi penumpang hadapan bersama bapa saya. Kereta ini kecil dan comel,
jauh lebih kecil dari Ford Escort atau Moris Minor. Enjinnya pula samada 850cc
atau 1000cc. Tetapi ada juga model sport yang menggunakan enjin 1275cc.
Kereta berjenama Mini ini, masih lagi berada dipasaran.
Tetapi, model-model terbaru tidak lagi menggambarkan jenamanya, iaitu ‘Mini’,
yang memang sinonim dengan saiznya yang kecil dan comel itu.
Kereta Mini yang ada sekarang, walaupun mempunyai bentuk
yang seakan serupa dengan model yang saya naiki semasa kecil dulu, tetapi bersaiz
amat besar dan menggunakan enjin sehingga 2000cc dengan sistem turbo untuk
menjanjikan kuasa enjin yang menjadi kegilaan golongan termampu.
Walaupun ciri-ciri asal telah ada yang bertukar, jenama ini
masih menjadi satu keunikan dalam dunia permotoran. Kereta yang saya naiki
semasa kecil dulu kini menjadi bahan koleksi peminat kereta-kereta antik, sementara
model-model terbaru juga menjadi koleksi, tetapi kepada golongan yang
berkemampuan saja.
Kalau saya ada kemampuan, sudah pasti saya akan memilikinya!
No comments:
Post a Comment