26 October 2015

Ragam di jalanraya

Dah berbelas tahun saya berulang-alik dari rumah ke pejabat. Jalan yang saya lalui, lebuhraya Seremban - Kuala Lumpur. Sepanjang jalan, bermacam-macam ragam yang saya temui. Ragam pemandu dan ragam penunggang.

Pemandu, ye lah, pemandu kereta, pemandu bas dan pemandu lori. Mereka ini memang punyai tujuan masing-masing, jadi ada yang memandu laju dan ada pula yang lebih perlahan dan berhati-hati.

Kadang-kadang berlaku konflik antara mereka ini. Jika pemandu beradu sesama pemandu, saya tidak berapa peduli sangat. Yelah, mereka tu besar, jadi sebagai penunggang kapcai, saya faham sangat kemampuan saya. Jauhkan diri adalah pilihan yang lebih bijak.

Cuma, bila berlaku masalah antara penunggang dan pemandu, saya tidak dapat nak berdiam diri. Cubalah bayangkan, ketika anda menunggang pada kelajuan selesa sebuah kapcai, sekitar 90km/jam, ada lori atau bas ekpress berada dua depa di belakang anda sambil membunyikan hon menyuruh anda beralih ke lorong kecemasan supaya mereka boleh memotong anda.

Lorong kecemasan bukanlah satu laluan yang baik untuk sesiapa sahaja. Di situ ada banyak halangan seperti kereta yang berhenti kerana masalah tertentu, seperti kerosakan, tayar pancit dan sebagainya, sampah seperti cebisan tayar pecah, dan benda lain yang tercampak kesitu dari bahagian lebuhraya yang lain. Dan yang paling saya takuti, paku dan benda tajam lain yang boleh menyebabkan tayar pancit.

Bila sebut saja pasal paku, saya yakin anda semua sedar bahawa ada dianatara paku-paku ini tersepah kerana serpihan dari kayu-kayu yang bergelimpangan atau mungkin terjatuh dari lori-lori pembinaan yang selalu menggunakan laluan itu.

Tetapi saya pernah jumpa paku-paku yang bertaburan sejauh beberapa meter. Bila saya periksa, saya dapati paku ini tidak berkarat, malah berkilat, seperti paku-paku yang baru dibeli di kedai barangan pembinaan. Agaknya, mungkinkah paku-paku ini bersepah di situ dengan tidak sengaja atau sengaja ditaburkan untuk tujuan tertentu?

Bukannya saya ingin bersangka buruk, tetapi keadaannya sangat mencurigakan. Ditambah lagi dengan kebimbanagan saya kerana pakau-paku ini boleh menyebabkan tayar motorsikal meletup dan membahayakan penunggang seperti saya.

Sebagai satu komuniti bersaiz kecil, di dada lebuhraya yang berpenghunikan mesen-mesen raksaksa, saya mengambil langkah berhati-hati dan berundur diri. Uwan eden dulu koba, defensive riding! Tak payahlah nak berlawan dengan kereta-kereta, lori-lori dan bas-bas ekpres.

Kepada rakan penunggang yang lain, berhati-hati, berhemah dan bertimbang rasa. Kita ni mentimun, digelek luka, kena gelek pun luka!

Tetapi, saya tetap berbangga dan menyanjung golongan yang prihatin dan bertimbang rasa dari kalangan penunggang dan tidak kurang dari kalangan pemandu. Ada kalangan pemandu yang sanggup bertukar lorong untuk memberi laluan kepada penunggang kecil ini. Ada yang sanggup berhenti dan membantu bila sikecil ini ditimpa bencana.

Untuk mereka ini, syabas, tahniah, terima kasih; anda berjiwa BESAR!

10 October 2015

Budi Pada Bumi

Bila ada kesempatan pada hujung minggu, saya akan selenggara tanam-tanaman di laman rumah saya. Bunga kertas, japanesse rose, cili api dan beberapa jenis herba. Apabila melihat tanam-tanaman ini tumbuh subur, hati saya turut terhibur.

Tetapi, pada masa yang sama saya teringat seorang kawan yang mengatakan tanaman di lamannya hidup segan mati tak mahu. Saya bertanyakan samada dia membaja tanaman tersebut dengan teratur atau tidak. Jawapannya, “Tak pernah lah pulak........”

Memang patutlah kalau begitu.

Pada pendapat saya, tanam-tanaman ini, samada di kebun atau di halaman, di atas tanah atau di dalam pasu, ibarat anak-anak kita.

Kita sediakan tempat tinggal yang selesa untuk anak-anak, kita perlu tanah yang baik untuk tanaman kita.

Kita bagi minum secukupnya anak-anak kita, kita perlu siram scukupnya tanaman-tanaman kita.

Kita bagi makan pada setiap waktu makan anak-anak kita, kita perlu baja tanaman kita mengikut jadual pembajaannya.

Kita bersihkan anak-anak kita, dengan memandikan mereka, kita bersihkan persekitaran tanaman kita dengan mencabut rumput-rampai yang akan bersaing dengannya.

Kita memuji anak-anak kita bila mereka berbuat baik, kita memuji-muji tanam kita bila ia tumbuh subur, berbunga cantik dan berbuah lebat.

Seperti juga anak-anak kita yang tidak kita biarkan, tanam-tanaman juga begitu. Jika kita biarkan sahaja selepas ianya ditanam, ia akan tumbuh mengikut keadaan sekeliling dan bukan seperti yang kita mahukan. Kalau keadaan terlalu sukar, ia akan mati.

Jika kita mahukan tanama kita subur, kita perlu memainkan peranan aktif. Mereka mesti disiram sekurang-kurangnya sekali setiap hari. Mereka juga mesti di baja sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi pokok dalam pasu dan dan pokok-pokok bunga kecil yang di tanam di atas tanah dan dua kali setahun bagi pokok besar yang di tanam di dalam kebun-kebun.

Daun dan rantingnya pula mesti ditetas bila perlu. Jika ia tumbuh tanpa kawalan, ia tidak enak dipandang.
Jika lebih rajin, bentuk dahan-dahan ini mengikut cita rasa kita. Ini selalu dilakukan oleh peminat-peminat tumbuhan unik yang selalu di kenali sebagai “bonzai”. Bagi pokok-pokok besar pula, dahan mesti di tetas untuk memaksimakan pembesaran dan cepat mengeluarkan hasil.

Seperti juga, kita mampu tersenyum jika anak-anak kita membesar dengan sihat dan segak, kita juga akan tersenyum jika tanaman-tanaman kita hidup subur, berbunga indah dan berbuah lebat.

SELAMAT BERBUDI KEPADA BUMI.......


25 September 2015

Mantai



Hari Mantai adalah hari sebelum awal Ramadhan, sebelum Aidilfitri dan sebelum Aidiladha. Dihari ini, dilakukan persedian terakhir untuk musim-musim tersebut. Bagi penduduk kampung saya, hari ini amat bermakna dan istimewa.

Beberapa bulan sebelum itu, ada orang tertentu telah diamanahkan untuk mencari kerbau untuk disembelih pada hari mantai. Kerbau yang dipilih berdasarkan anggaran permintaan dari orang-orang kampung. Semua bahagian kerbau itu mestilah dibeli oleh mereka untuk mengelakkan sebarang kerugian. Kerbau yang dipilih pula, hanyalah kerbau jantan sahaja.

Kerbau yang telah dibeli itu dibahagikan mengikut bahagian tertentu. Seingat saya, satu bahagian berharga RM10.00. Jika kerbau berharga RM1,000.00, ini bermakna ada 100 bahagian yang boleh dibeli oleh orang-orang kampung. Nama pembeli dicatit dengan jumlah pembelian mereka. Tiada sebarang keuntungan akan diambil dari transaksi ini. Jika kerbau dibeli dengan harga RM1,000.00, maka jumlah kutipan dari jualan dagingnya tersebut adalah RM1,000.00 juga.

Walau bagaimana pun, ada beberapa bahagian dari sembelihan tersebut akan dijual secara ‘lelong’. Antara bahagin yang saya masih ingat ialah kepala, kulit, tunjang (kaki kerbau yang telah diceraikan dagingnya), kitab (perut kerbau yang didalamnya terkandung najis), limpa dan ekor. Hasil jualan secara lelong ini akan digunakan sebagai upah kepada orang-orang yang bekerja seperti mencari kerbau, mengikat dan menyembelih. Jika ada lebihan, wang tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung surau. Kerja-kerja ringan seperti melapah dan meracik daging dibuat secara sukarela dan bergotong-royong.

Ada berbagai aktiviti pada pada hari mantai ini, seperti membakar lemang, merebus ketupat dan sebagainya, tetapi aktiviti utama ialah penyembelihan kerbau untuk tujuan hidangan seperti gulai dan rendang. Selalunya pada hari ini, anak-anak yang tinggal di bandar telah pun berada di kampung dan turut melibatkan diri dalam kerja-kerja gotong-royong sepanjang hari.

Sekitar pukul 7.00 pagi, ramai yang sudah berkumpul di tapak sembelihan. Pada hari mantai ini, kami sama-sama akan bergotong-royong untuk memudahkan kerja-kerja menyembelih, melapah, meracik dan mengedarkankan daging-daging yang telah siap dibahagi-bahagikan. Masing-masing telah bersedia dengan pakaian basahan (pakaian yang digunakan semasa bekerja), parang dan pisau yang sudah diasah tajam.

Bila telah cukup kakitangan, kerbau akan diikat. Ia dilakukan oleh orang-orang yang mahir mengikat kerbau untuk tujuan sembelihan. Kita tidak mahulah nanti, semasa disembelih, kerbau itu terlepas dari ikatannya. Ikatan mesti kuat, namun, ikatan tidak bolih disimpul mati. Nanti susah pula untuk dibuka bila diperlukan. Disamping orang-orang yang mahir, dibantu juga oleh anak-anak muda. Mereka ini lebih bertenaga dan sambil itu turut memerhati dan belajar. Ilmu ini akan digunakan dihari mendatang.

Tali akan diikat pada satu kaki kerbau dan disilangkan pada kaki yang sebelah lagi. Ini dilakukan pada kaki hadapan dan kaki belakang. Bila kedua-dua tali ini ditarik serentak, kerbau itu akan tumbang dan terbaring di atas tapak sembelihan.

Ikatan dikemaskan lagi dan kaki hadapan dan kaki belakang diketemukan dengan menindihkannya dan sekali lagi diikat kemas. Kerbau itu kemudiannya ditarik dan dipusingkan untuk mengadap kiblat. Satu lubang digali betul-betul dibawah leher kerbau yang sudah diikat itu. Pada pendapat saya, lubang ini bertujuan untuk menakung darah apabila ia disembelih dan juga sebagai ruang agar parang sembelihan dapat bergerak dengan mudah agar sembelihan dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebelum disembelih, tali hidung kerbau akan ditarik kebelakang dan diikatkan ke tanduk. Sebatang kayu akan dimasukkan diruang kosong antara tali dan hidung kerbau tersebut dan kayu itu dibenamkan ke dalam tanah sambal dipegang oleh seorang pekerja. Ia bertujuan untuk mengelakkan lembu itu meronta dengan tidak terkawal. Sekeping kayu lebar pula akan diselitkan antara kaki kerbau itu dari arah belakang. Beberapa orang yang berbadan besar akan berdiri di atas kayu tersebut. Jika kerbau itu bertanduk panjang, seorang lagi akan ditugaskan memegang tanduk tersebut dan memastikan kedudukan kepala kerbau sesuai untuk penyembelihan.

Selepas semua persediaan itu dibuat, tukang sembelih akan memulakan tugasnya. Seorang pembantu akan menyiram air keleher kerbau tersebut. Sebaik sahaja selesai, sembelihan akan dilakukan. Semua yang terlibat mesti berhati-hati. Kerbau mesti berada dalam keadaan diam, agar sembelihan yang sempurna dapat dilakukan. Jika kerbau meronta, kekangan mestilah dikuatkan. Tukang sembelih tidak boleh terganggu oleh apa jua, sepanjang dia melakukan sembelihan. Parang sembelih yang telah mula menghiris leher kerbau tersebut tidak boleh diangkat sehingga sembelihan sempurna.

Tukang sembelih adalah dari orang-orang terpilih. Mereka arif tentang cara-cara menyembelih. Semua syarat-syarat sembelihan mesti di lakukan dengan sempurna. Sembelihan dilakukan dengan parang sembelih, sebilah parang yang panjangnya lebi kurang 45cm, amat tajam dan selalunya dibuat khas untuk tujuan menyembelih binatang sahaja.

Selepas sembelihan selesai, kekangan akan di buka. Sebaik sahaja rontaan kerbau itu reda, semua tali pengikat juga akan dibuka. Kerbau itu mestilah dipastikan mati kerana sembelihan tersebut dan bukannya kerana ikatan dan kekangan terhadapnya.

Selepas kerbau itu mati, kerja melapah akan dimulakan. Kulit akan didipisahkan dari badan kerbau yang telah mati tersebut. Lapahan mesti dibuat dengan cermat supaya tiada daging akan tertinggal dan melekat pada kulit yang telah dilapah dan kulit yang dilapah pula tidak koyak. Kemudian anggota kerbau itu akan dipisahkan-pisahkan dan diserahkan kepada beberapa kumpulan orang kampung yang akan meracik daging pejal dan dikumpulkan disuatu tempat.

Pada masa yang sama, bahagian-bahagian lain turut diuruskan. Tulang rangka dipotong dengan kapak, hati dipotong kecil dengan pisau yang tajam agar tidak hancur dan bahagian perut tertentu dibasuh dan dibuang najisnya.

Bila telah selesai meracik daging pejal (daging yang tidak mengandungi lemak yang banyak), ia akan dibahagi-bahagikan mengikut bahagian yang telah ditetapkan. Jika 100 bahagian, bermakna ada 100 longgokan daging terhampar di atas satu kawasan lapang yang menunggu masa untuk diserahkan kepada orang-orang yang telah memesannya. Pada tiap bahagian juga ditambah dengan sedikit tulang, hati, perut (yang telah dibersihkan) dan daging cincang (daging yang banyak lemak yang kadang-kadang dipanggil juga dengan nama tetel).

Selepas selesai membahagikan daging, kerja melelong akan dilakukan. Tukang lelong akan meletak harga asas. Para hadirin akan menawarkan harga padanya secara berganti-ganti. Tawaran paling tinggi dan tidak di lawan oleh pihak lain, akan diterima dan barang lelongan akan diserahkan kepadanya. Bayaran akan dilakukan sebaik sahaja barang lelongan diserahkan. Proses ini diulang sehingga kesemua barang lelongan habis di jual.

Selepas kerja lelongan selesai, barulah pembahagian daging sembelihan dibuat kepada orang yang memesan mengikut bahagian-bahagiannya. Pada masa yang sama, upah-upah kerja diberikan kepada mereka yang terlibat. Antara yang saya masih ingat ialah tukang cari kerbau mendapat upah sebanyak RM70 dan tukang ikat mendapat upah sebanyak RM5 seorang.

Sementara itu, tapak sembelihan dibersihkan bersama-sama. Cebisan-cebisan daging dan bahan yang tidak berguna ditanam agar tidak berbau busuk dan tidak dihurung lalat. Semua urusan hari mantai ini akan selesai sekitar 11.00 – 12.00 pagi.

Pada sebelah malam pula, orang-rang kampung akan berkumpul di surau untuk menunaikan solat Isyak berjemaah. Selepas solat, doa selamat dah tahlil akan dibacakan. Kemudian, semua yang hadir akan sama-sama menjamah hidangan yang dibawa bersama. Nasi berlauk rendang, masak merah, masak lemak cili api dan sup (dikampung saya lebih dikenali sebagai “rebus”). Kuih-muih, pulut kuning, lemang dan ketupat pun ada………………..

Itulah pengalaman saya semasa kecil. Ini adalah cerita dikampung saya, sebuah kampong kecil di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Ia mungkin berlainan dikampung lain atau di daerah lain.

20 September 2015

Mini Cooper dan Clubman



Teringat zaman kanak-kanak saya dulu.

Masa tu, kalau dapat naik kereta, rasa teramat seronok. Maklumlah, masa tu bukan ramai orang kampung yang memiliki kereta. Yang ada hanyalah Cikgu Besar sekolah yang bawa kereta Ford Escort. Kemudian, ada pula Pakcik Teksi teksi yang bawa teksi warna hijau gelap, saya tidak dapat ingat jenamanya. Sesekali, orang kaya kampung bawa kereta Moris Minor.

Tetapi yang paling saya tidak boleh lupa, ialah ketika berpeluang menaiki kereta Mini. Saya tak pasti model apa, samada Cooper atau Clubman tetapi memang terasa amat seronok pada masa itu. Tambahan pula, dapat duduk dikerusi penumpang hadapan bersama bapa saya. Kereta ini kecil dan comel, jauh lebih kecil dari Ford Escort atau Moris Minor. Enjinnya pula samada 850cc atau 1000cc. Tetapi ada juga model sport yang menggunakan enjin 1275cc.



Kereta berjenama Mini ini, masih lagi berada dipasaran. Tetapi, model-model terbaru tidak lagi menggambarkan jenamanya, iaitu ‘Mini’, yang memang sinonim dengan saiznya yang kecil dan comel itu.

Kereta Mini yang ada sekarang, walaupun mempunyai bentuk yang seakan serupa dengan model yang saya naiki semasa kecil dulu, tetapi bersaiz amat besar dan menggunakan enjin sehingga 2000cc dengan sistem turbo untuk menjanjikan kuasa enjin yang menjadi kegilaan golongan termampu.


Walaupun ciri-ciri asal telah ada yang bertukar, jenama ini masih menjadi satu keunikan dalam dunia permotoran. Kereta yang saya naiki semasa kecil dulu kini menjadi bahan koleksi peminat kereta-kereta antik, sementara model-model terbaru juga menjadi koleksi, tetapi kepada golongan yang berkemampuan saja.

Kalau saya ada kemampuan, sudah pasti saya akan memilikinya!

16 September 2015

Pengalaman Telefon Mobile



Antara telefon bimbit saya yang terawal menggunakan talian Digi.Antara salah satu sebabnya ialah kerana Digi adalah syarikat yang mula-mula memperkenalkan sistem prepaid.

Saya pula tidak perlu membuat atau menerima panggilan yang banyak. Yang penting pada masa itu hanyalah dapat berhubung sekiranya ada apa-apa masalah semasa saya dalam perjalanan berulang-alik dari rumah ke pejabat.

Pakej paling jimat pada masa itu adalah reload sebanyak RM100 yang bertahan selama 3 bulan. Pilihan lain, reload sebanyak RM50 yang tahan selama 30 hari. Setelah Celcom memulakan operasi pra bayarnya, kadar itu turn kepada reload RM30 untuk aktif selama 30 hari. Saya menggunakan Digi selama beberapa tahun (hampir 12 tahun).

Semasa permulaannya, dalam perjalanan saya ke pejabat, hanya beberapa kawasan sahaja yang ada liputan gelombang Digi. Semasa saya bertukar ke talian lain, semua kawasan dalam laluan saya telah berada dalam liputan.

Kemudian, bila MNP berkuatkuasa, saya bertukar kepada Umobile dengan menggunakan nombor yang
sama. Ini lebih kepada keperluan untuk menyokong perniagaan yang dijalankan oleh isteri saya. Walau bagaimana pun, sebagai penyedia perkhidmatan baru pada masa itu, kadar panggilan dan data dari Umobile memang menarik.

Pada masa yang sama, keperluan saya terhadap telekomunikasi mobile bertambah kerana urusan kerja saya. Saya melanggan talian Maxis (dengan nombor baru) dengan pekej syarikat. Liputan memang
bagus tetapi pekej Blackberry dan data memerlukan saja berbelanja besar. Saya tidak ada pilihan kerana urusan kerja saya memerlukan sistem pengurusan masa dan mobile email.

Bila skop kerja saya berubah dan syarikat pula menutup operasi server Blackberry mereka, saya mengambil keputusan untuk bertukar penyedia talian tetapi niat itu tertangguh kerana saya masih ada beberapa bulan kontrak langganan yang perlu dihabiskan.

Pada masa yang sama juga, keadaan ekonomi merudum. Harga barangan naik dengan mendadak. Saya perlu mengurangkan belanja bulanan saya dan salah satu caranya ialah dengan mengurangkan belanja di bidang komunikasi.

Oleh itu, sebaik sahaja kontrak langganan saya tamat, saya tutup akaun-akaun saya yang tidak berkenaan dan meninggalkan hanya satu akaun utama. Saya terus MNP nombor ini ke Onexox yang menjadi penyedia perkhidmatan telefon mudah alih dan data mobile pilihan saya, kini.

Bersama Onexox, saya dapat berjimat kerana kadar panggilan amat berpatutan. Yang lebih menarik, saya berpeluang mempromosinya untuk mendapat komisyen dan seterusnya menjadikannya satu sumber pendapatan.

Hubungi saya di talian Onexox 016-6481100
http://onexox66.blogspot.com